BUKU-BUKU TEKS KOMSAS KELOMPOK PERTAMA

KOMSAS= Komponen Sastera.

KOMSAS diperkenalkan sejak tahun 2000, susulan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin menerapkan unsur-unsur kesusasteraan dalam sukatan pelajaran bahasa. KOMSAS ini diterapkan dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dari peringkat ke peringkat. Untuk KOMSAS bahasa Melayu, antologi yang merangkumi sajak, prosa traditional, cerpen dan drama ditetapkan untuk seluruh Malaysia, manakala novel-novel ditetapkan mengikut 4 rantau yang berbeza. Untuk KOMSAS bahasa Inggeris pula, antologi yang merangkumi sajak dan cerpen ditetapkan untuk Tingkatan 1 dan 4 di seluruh Malaysia, manakala novel-novel ditetapkan mengikut pilihan sekolah atau rantau (kalau saya tidak silaplah).

Yang berikut adalah buku-buku teks KOMSAS yang digunapakai sebagai siri pertama dari tahun 2000-2011. Ia telah henti digunapakai selepas rombakan buku-buku teks KOMSAS untuk siri kedua yang bermula sejak tahun 2010. Oleh sebab saya bersekolah di Ipoh, jadi novel KOMSAS bahasa Melayu adalah mengikut zon Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Tetapan ini tidak berubah sepanjang persekolahan menengah saya.

Tingkatan 1:
Antologi 'Sehijau Warna Hijau' (kiri), novel 'Aku Anak Timur' (kanan).

Tingkatan 1: Antologi 'Selected Poems and Short Stories'.

Tingkatan 2:
Antologi 'Seuntai Kata Untuk Dirasa' (kiri) dan novel 'Kapten Hassan Wira Bangsa' (kanan).

Tingkatan 2: novel 'Robinson Crusoe'.


Tingkatan 3:
Antologi 'Anak Bumi Tercinta' (kiri) dan novel 'Merdeka! Merdeka!' (kanan).

Tingkatan 3: novel 'The Prisoner of Zenda'.

Mulai tahun 2008, semua buku teks sekolah diberi dan dipinjam oleh pelajar secara percuma. Oleh itu, saya tidak lagi membeli buku-buku teks dari kedai buku. Saya juga tidak sempat mengambil gambar novel dan antologi Tingkatan 4 dan 5. Antologi KOMSAS bahasa Melayu untuk Tingkatan 4 dan 5 adalah 'Anak Laut' dan 'Kerusi' masing-masing, manakala novel adalah 'Perlumbaan Kedua' (Ting. 4) dan 'Julia' (Ting. 5). Untuk KOMSAS bahasa Inggeris, novel yang saya mengkaji adalah 'The Pearl' (Ting. 5).

Walau bagaimanapun, pada tahun lepas, saya terjumpa novel 'Perlumbaan Kedua' yang berversi asal (sebelum dijadikan sebagai buku teks KOMSAS bahasa Melayu). Ia disimpan dalam Perpustakaan Negeri Sabah. Akhirnya saya dapat membaca novel yang 'original' punya... Hehe...


Jadi, inilah kenangan saya buat masa persekolahan menengah... Komponen Sastera ini suatu usaha yang baik untuk menggalakkan pelajar membaca bahan-bahan sastera, tapi bukan mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Novel dan antologi tersebut hanyalah teks-teks yang merangsangkan minat kesusasteraan di kalangan pemuda supaya dapat menghayati ciri-ciri hasil karya kesusasteraan yang skopnya jauh lebih luas pada masa depan.

-----
Edit: Novel KOMSAS Bahasa Melayu Ting. 1 ke Ting. 5 bagi zon2 lain (2000-2011):
1.Zon Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis: Meniti Kaca; Pahlawan Pasir Salak; Panas Salju; Bukit Kepong; Konserto Terakhir
2. Zon Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang: Limpahan Darah di Sungai Semur; Timulak Kapal Perang; Ekspedisi; Terminal Tiga; Seteguh Karang
3. Zon Melaka, Johor dan Kelantan: Anak Din Biola; Tragedi Empat Disember; Kanang Cerita Seorang Pahlawan; Di Hadapan Pulau; Putera Gunung Tahan

Dikarang pada 21/6/2015, 6.21 pm;
Dikemaskini pada 29/12/2019, 4.54 pm

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular