DRAMA TIKAM-MENIKAM (SIRI 3)
Perikatan Nasional (PN) akhirnya terbatal pendaftaran baru2 ini selepas drama tikam-menikam berlarutan semenjak hujung tahun lepas.
Suatu ketika dulu, PN jenama politik baharu yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan. Pada awalnya, reputasi Muhyiddin Yassin sebagai PM8 yang memancarkan aura 'Abah' berjaya melonjakkannya sebagai pilihan alternatif dalam kalangan pengundi Melayu, malah menumbangkan United Malays National Organisation (UMNO) di beberapa kawasan kubu tradisional pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) dan Pilihan Raya 6 Negeri pada tahun berikutnya. Walaupun keutuhan jentera dan akar umbi PAS menjadi tunjang utama kekuatan PN, namun Bersatu masih diiktiraf sebagai parti peneraju.
Namun begitu, bibit keretakan mulai bercambah selepas selesainya rentetan pilihan raya tersebut. Menjelang tahun 2026, krisis Menteri Besar Perlis tercetus, sekali gus menjadi peristiwa pemicu utama yang menyaksikan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN.
Siapa mampu menyangka bahawa tindakan tersebut menandakan bermulanya kemerosotan kuasa Bersatu sebagai parti peneraju, malah pengaruhnya semakin hari semakin disisihkan dalam struktur organisasi PN. Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS menjadi pengerusi baharu, semakin ramai ahli dan pemimpin Bersatu dipecat atau digantung keahlian sebelum parti Wawasan ditubuhkan atas restu terpendam daripada PAS. Kerjasama antara PAS dan Bersatu tidak lagi berjalan seperti biasa walaupun kedua2 masih berada dalam kerangka perikatan yang sama. Dalam PRN Negeri Sembilan, Bersatu yang tidak lagi bertanding atas tiket PN gagal memenangi sebarang kerusi, manakala PAS dan Wawasan berjaya memenangi kerusi serta menyertai barisan pentadbiran negeri dengan Barisan Nasional (BN).
Keretakan ini memasuki episod baharu apabila Bersatu mengemukakan aduan rasmi kepada RoS mengenai ketidakpatuhan dan pengurusan organisasi yang kurang memuaskan. Pihak RoS pula memutuskan bahawa pendaftaran PN terbatal, sekali gus menamatkan riwayatnya selama 6 tahun dalam arena politik tanah air kita.
Akhir kata, Perikatan Nasional terbentuk pada suatu ketika dulu sebagai medan kerjasama antara Bersatu (yang keluar dari Pakatan Harapan) dengan PAS (yang menyertai kerajaan selepas Langkah Sheraton). Ia menjadi pilihan alternatif dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus menumbangkan pengaruh UMNO di kubu2 tradisionalnya, dan nyaris memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan pasca-PRU15. Namun begitu, medan tersebut akhirnya terburai apabila kesengketaan dalaman merebak dan merobek keretakan yang tidak lagi mampu diperbaiki.
*Nota: Notis pembatalan pendaftaran PN digantung sehingga prosiding semakan kehakiman selesai dijalankan selepas permohonan dari pihak pengurusan induk PN diluluskan oleh Mahkamah Tinggi. Maka calon perikatan tersebut masih boleh bertanding atas tiket PN di PRN Melaka pada November kelak.
Comments
Post a Comment