PUISI MODEN- MEMORI MALAM 5 MEI


Tanggal 5 Mei 2013
Hari istimewa buat Malaysia
malam Ahad yang tenang
malam keputusan pilihan raya umum
yang ketiga belas diumumkan
secara langsung melalui media massa.

Detik rancak bermula
pada sekitar pukul lapan malam
suasanamula hangat
di dalam dewan pengiraan
di dalam rumah biasa
di dalam bilik televisyen
dan dalamsanubari penonton.

Pemuda-pemudi dan warga tua
dari pelbagai bangsa, usia dan status
menunggu keputusan rasmi secara langsung
menghayati detik memuncak
kita meraih kejayaan calon
menyaksikan saat kejayaan dikecapi
kita menerima kekecundangan calon
ketabahan hati diucap kepadanya.

Keputusan semakin ketara
Corak kemenangan semakin jelas
semakin banyak berita diumumkan
semakin suasana memuncak
semakin terkobar-kobar emosi sendiri
ada yang kalah
ada yang menang
ada yang gagal menawan
ada yang gagal pertahan.

Namun,
di sebalik pengumuman keputusan
ada yang masih keputusan tidak rasmi
ada markah yang tidak sepadan
sedangkan semakin banyak kotak undi dibuka
ada helah yang berselindung
di bawah kegelapan buatan orang
sedangkan bekalan elektrik dibekal seperti biasa
berita sisipan gempar banyak disebar
di luar dugaan orang ramai.

Keputusan pilihan raya akhirnya muktamad
perikatan yang lama berpegang kuasa
masih kuat pegang kuasa
dengan melangkau separuh jumlah kerusi
melebihi 112 kerusi Parlimen
malah berjaya perolehi Kedah semula
namun
komponennya banyak kehilangan undi
sedangkan taukenya banyak meraih undi
banyak peroleh kelompok undi luar bandar
tapi banyak kehilangan kelompok undi popular.

Manakala,
perikatan yang berazam menjadi pemerintah
masih di luar kuasa
masih menjadi pembangkang Parlimen
yang gagal melangkau separuhjumlah kerusi
yang turut kehilangan Kedah, kubu muda
namun
Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan
berjaya dipertahan dan kuat disokong
komponennya banyak menangi kerusi negeri
kuat dibelakangi kelompok undi popular.

Kukecewa dan pilu
harapan ubah terkecai
malam gelap menjadi muram
impian indah menjadi igauan ngeri
133 dengan 89
47% dengan 51%
suatu angka yang tidak sepadan
suatu pengagihan keputusan yang janggal
kujangka politik perkauman lamabakal berlanjutan
caturan pentadbiran hegemoni lamabakal berterusan
media arus perdana,jajahan hegemoni lama
terus bersandiwarakan suara dan tuntutan rakyat
suara rakyat terus dicemuh, dipandang serong
suara kroniterus dilayan, malah diutamakan
kehidupan rakyat jelata negaraku
bakal menjadi tidak menentu.

Tapi,
kulihat
perikatan alternatif yang dulunya
mudah rapuh kecai
kini semakin erat
perikatan alternatif yang dulunya
bertelagah sesama diri
kini bekerjasama dan bermuafakat
demi matlamat satu
pertelingkahan pendirian masing-masing
tidak jadi halangan sudah.

Kupercaya
tembok dan jala perkauman
yang halimunan dan halus
akan ditembusi dan direnyuk.
perkongsian matlamat yang jitu
akan menjadi utuh
pendukungan impian yang indah
akan menjadi realiti
suatu hari nanti
dengan sehati, sejiwa dan sesemangat.

Meskipun
‘ini kalilah’ tidak menjadi,
tapi
impian ‘ubah’ bakal menjelma
suatu hari nanti!

6-7/5/2013

Ulasan

Catatan Popular