INDOKTRINASI SEJARAH VS. FAKTA SEJARAH

Pertama sekali, Selamat Hari Jadi Malaysia yang ke-51 (walaupun ia sudah berlalu selama 12 hari)!

Saya ada beberapa pendapat terhadap sambutan yang agak lewat diiktiraf; ia mulai disambut secara rasmi semenjak tahun 2010. Selama ini kita banyak dimaklumkan bahawa Malaysia ‘mencapai kemerdekaan’ pada 31 Ogos 1957. Pada masa yang sama, kita juga dimaklumkan bahawa Malaysia dibentuk pada 16 September 1963. Adakah ia benar?

Adakah ia menepati fakta sejarah? Sebenarnya, terdapat indoktrinasi sejarah sedang melanda di mana-mana tempat, dari sekolah sehingga di badan kerajaan. Saya berpendapat sedemikian setelah banyak membaca hujah dan makalah mengenai kisah-kisah pasca-penubuhan Malaysia. Menerusi pemerhatian saya, fenomena ini masih giat dijalankan di Semenanjung, tapi ada sedikit juga di Sabah dan Sarawak. Di sekolah, indoktrinasi sejarah menerusi sukatan pelajaran Sejarah giat dijalankan; kebanyakan (bukan separuh) sukatan pelajaran tersebut ditumpukan pada sejarah Tanah Melayu sebelum dan selepas tahun 1957. Hanya sedikit bab mengisahkan Sabah dan Sarawak biarpun ia masih bertemakan kebudayaan, zaman penaklukan regim orang putih dan gerakan nasionalisme sebelum dan selepas 1963. Bukan itu saja, media cetak dan elektronik (khususnya media arus perdana) banyak memilih 31 Ogos sebagai tema sempena hari kemerdekaan. Banyak juga filem, iklan dan lagu patriotik berlatarkan Semenanjung, manakala kisah pasal perjuangan kemerdekaan oleh anak jati Sabah dan Sarawak jarang dijumpai dan ditonjolkan (kecuali beberapa tahun terdekat ini).

Kurasa indoktrinasi sejarah ini masih hadir. Selagi ia tidak dicabut dari akar umbinya, ia masih giat dijalankan oleh pihak tertentu dari masa ke masa, biarpun terdapat sesetengah suara yang kuat menyeru pengembalian fakta sebenar. Kesannya, fakta sejarah yang benar tidak dapat diketahui oleh umum secara meluas. Hanya sedikit orng saja tahu. Sebagai contoh, terdapat ramai orang beranggapan bahawa Malaysia merdeka pada 1957 walhal ia hanya wujud semenjak 1963 tanpa mencapai kemerdekaan. Mengikut sejarah benar, Tanah Melayu (Malaya) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957; Sarawak dan Borneo Utara mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 dan 31 Ogos 1963 masing-masing. Malaysia dibentuk menerusi Perjanjian Malaysia 1963 pada 16 September 1963 oleh ketiga-tiga NEGARA tersebut serta Singapura yang berswatantra sejak 1959. Amat kesian jika ilmu susur galur tanah air di kalangan generasi kini dan hadapan terus dipesong dengan indoktrinasi sejarah daripada fakta sejarah. Mereka yang masih keliru akan usia tanah air moden sepatutnya dididik supaya memahami asal usul tanah air dengan jelas.

Walau bagaimanapun, kita semakin banyak dimaklum dengan maklumat yang mengenai kisah-kisah kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Kita juga banyak memperoleh beberapa fakta sejarah yang masih tidak terpesong daripada fenomena indoktrinasi sejarah berkenaan. Contohnya, menerusi laman sesawang Youtube, kita boleh menyaksikan suasana pemasyhuran kemerdekaan Sabah, dan upacara pembentukan Malaysia di Jesselton (Kota Kinabalu). Selain itu, kita juga dimaklumkan bahawa kerajaan Sarawak telah mula menyambut kemerdekaan tanah air berkenaan pada 22 Julai semenjak tahun lepas (2013). Terdapat banyak analisis dan hujah yang mengenai suasana Sabah dan Sarawak pasca-penubuhan Malaysia dapat dilayari dan dibaca. Tuntasnya, kita wajar mengembalikan kebenaran sejarah, dan juga mengecam mana-mana pihak yang cuba mengaburi fakta sejarah. Usaha ini nampak remeh, tapi ia sangat bermakna supaya pengetahuan palsu tidak mempengaruhi pemahaman persejarahan tanah air di kalangan generasi muda.

Ya... satu lagi perkara penting yang wajar dilakukan oleh generasi muda. Mereka wajar proaktif dalam mengaji sejarah. Biarpun buku teks Sejarah di peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah (baru-baru ini) mencatatkan sesebahagian daripada seluruh juzuk susur galur sejarah, mereka tidak patut percaya akannya bulat-bulat secara membuta lali. Sbaliknya mereka perlu cuba memahami isi tersurat dan maksud tersirat, jangan hafal sekeras-kerasnya. Selain itu, mereka perlu secara proaktif mengunjungi tapak-tapak bersejarah dan menyertai eksplorasi yang ada macam-macam program penerokaan kisah-kisah lampau seperti lawatan ke perkampungan bekas tentera Parti Komunis Malaya dan tentera Pengaman,  lawatan ke Lembah Bujang di Kedah, Bukit Bunuh di Lenggong dan sebagai. Dengan ini, mereka tidak akan rasa bosan dan muak akan ayat-ayat dalam buku ilmiah sejarah; sebaliknya semangat minat akan fakta sejarah dapat dijana dan diteruskan dalam jiwa seseorang semasa merasai keindahan dan ketakjuban ilmu dengan pancaindera diri sendiri.  Ia juga membantu generasi muda untuk mencerakinkan sebarang indoktrinasi sejarah yang cuba mengalihkan perhatian daripada fakta sejarah pokok.


28/9/2014
1.05 am

Ulasan

Catatan Popular