SUATU RENCANA PASAL BAHASA KEBANGSAAN

Untuk sesiapa yg ingin tau sebab2 bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi masih dipandang enteng oleh sesetengah warganegara Malaysia, saya cadangkan rencana berikut yang dikarang oleh Hishamuddin Rais sebagai pelita pencerahan...

.......................................................................................................................

(Oleh Hishamuddin Rais; dimuatnaik pada 1 April 2006)

Saya menolak konsep Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Saya juga menolak konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Pada ketika ini saya mengajukan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan. Konsep bahasa strategik ini adalah tahap yang paling awal dalam usaha menggalang dan mengembelingkan tenaga untuk melahirkan negara bangsa.

Konsep negara bangsa ini juga adalah konsep yang baru. Untuk Tanah Melayu konsep ini wujud sebagai pengalaman sesudah dilanda zaman kolonial. Kekitaan yang diwujudkan melalui bahasa juga bermula apabila manusia Melayu mula berkenal dengan “orang lain” yang dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu.

Justeru, Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan untuk saya tidak memiliki apa-apa makna yang tepat. Malah dalam konteks politik Malaysia hari ini konsep kebangsaan itu juga perlu dilihat, dirombak untuk dinilai kembali. Saya mengasaskan pandangan ini kerana saya berkongsi sama dengan pandangan yang diasaskan oleh ahli falsafah Perancis Ernest Renan yang mengajukan konsep negara bangsa dalam satu ucapannya di Universiti Sorbonne pada tahun 1882.

Pandangan-pandangan awal tentang negara bangsa berasaskan konsep yang diajukan oleh para pemikir dari Jerman. Negara bangsa dari pemikiran Jerman ini berasaskan genetik, darah keturunan, kaum, kesamaan bahasa dan budaya. Saya menolak pandangan ini. Pandangan negara bangsa berjenis ini telah melahirkan negara fasis seperti Jerman dan Jepun. Konsep negara bangsa seperti ini telah melahirkan pembantaian bangsa-bangsa seperti yang terjadi di antara Tutsi dan Hutu atau seperti yang dialami pada tahun 1969 di Malaysia.

Justeru, saya lebih bersetuju untuk menerima pandangan yang diajukan oleh Renan bahawa negara bangsa dilahirkan melalui ikatan sosial/social contract di mana para warga tidak semestinya dari kaum atau darah yang sama tetapi bersetuju untuk hidup bersama; berkongsi pengalaman yang lalu, yang kini dan yang akan datang melalui pengucapan bahasa dan budaya yang sama.

Untuk saya ketika ini tidak wujud Bangsa Malaysia justeru tidak juga wujud Bahasa Malaysia. Dua konsep ini adalah omong-omong kosong dari para politikus yang bukan hanya tidak dapat menilai diri malah mereka gagal untuk memahami kenyataan hakiki yang sedia wujud di hadapan mata. Asas-asas awal dan kemungkinan-kemungkinan cerah untuk melahirkan negara bangsa Malaysia yang TIDAK berasaskan kaum, darah dan keturunan pernah wujud pada satu detik sejarah. Era pencerahan ini muncul ketika rakyat semua bangsa bangun berjuang untuk menghalau penjajah British dari Tanah Melayu.

Tetapi, arus perkembangan sosiopolitik dalam masa hampir dua generasi yang lalu telah menunjukkan bahawa cita-cita awal negara bangsa Malaysia ini telah hampir lupus. Dua puluh dua tahun di bawah kuku besi Mahathir Muhamad projek untuk melahirkan negara bangsa Malaysia telah gagal lagi meleset. Pemisahan-pemisahan bangsa-bangsa telah diatur secara terancang atau secara tidak tersengaja. Pemisahan bangsa-bangsa ini telah dilembagakan.

Lembaga-lembaga daulah telah diwujudkan bukan untuk penyatuan bangsa-bangsa tetapi untuk di pisah-pisah agar senang untuk diperintah. Ada lembaga yang diwujudkan berlandaskan ketuanan Melayu, ada yang berselubung di bawah jubah Islam. Ada pula yang dilembagakan berlandaskan kepentingan politik kepartian untuk memastikan pemilikan kuasa ekonomi dan politik.

Hasil dari pengamatan saya, ini dikuatkan pula dengan pengalaman ; saya berpendapat projek untuk melahirkan negara bangsa ini wajib melangkah ke belakang sekali lagi. Mengundur ke belakang bukan kepada tahun sifar tetapi kepada tahap awal untuk menerima konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan sosial.

Pandangan saya ini berpandukan keilmiahan bahawa politik di Malaysia pada hari ini hanya dapat diubah, dirombak atau diperbaiki oleh manusia Melayu. Ini adalah hakikat politik yang saintifik. Di Malaysia dalam konteks politik hari ini hanya manusia Melayu sahaja yang berupaya mewujudkan satu perjanjian sosial baru yang berlandaskan demokrasi dan keadilan untuk semua. Sesiapa yang memiliki pandangan yang bertentangan dengan hakikat ini saya cadangkan mereka pergi menjadi pemandu teksi di Baghdad sebelum mempelajari ilmu perubahan sosial.

Seyogia diingati bahawa pandangan strategik ini juga telah pernah diguna pakai dengan jayanya oleh Jepun dan British semasa menjajah Tanah Melayu. Jepun menguddam orang China ketika melanggar dan menakluki Tanah Melayu. British menganggap seorang gerila Melayu anti British lebih berharga dari sepuluh orang gerila China. Ini hakikat yang wajib difahami. Garis pentadbiran strategik kuasa kolonial British telah berjaya mengendalikan empire yang mencakupi tiga suku bumi ini. Kita perlu belajar dari sejarah orang-orang yang terdahulu dari kita. Justeru, konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan bukan sesuatu yang baru.

Pada tahun lalu saya telah dijemput ke satu persidangan/seminar. Antara kertas kerja yang dibincangkan ialah menilai kembali dan melihat kenapa gulungan progresif, kaum kiri dan parti-parti yang non rasial telah gagal dalam projek politik mereka. Mereka telah gagal untuk melahirkan sebuah Malaysia yang demokratik yang tidak berasaskan perkauman. Malaysia telah gagal untuk menjadi negara bangsa yang tidak melaga-laga antara Melayu, India, China dan bangsa yang lain.

Seminar yang saya hadiri ini bukanlah satu seminar akademik. Ianya lebih mendekati kepada seminar politik kepartian. Untuk saya segala bentuk perbincangan dari pelbagai jalur pemikiran adalah satu latihan yang sihat. Perbincangan terbuka secara demokratik yang bersandarkan keilmuan adalah perlu dalam proses mengumpul pengalaman. Ketika sesi membincangkan – Kenapa Gulungan Progresif Gagal – saya terpaksa ketawa mengikat. Saya rasa persoalan yang ditimbulkan itu lebih seram lagi menyeramkan dari lawak bodoh Senario.

Perbincangan ini berpusing-pusing gagal mencari punca kegagalan mereka. Satu demi satu politikus dan pemikir cuba mengajukan pandangan. Seperti biasa British dilihat sebagai sebab utama. Persongkongkolan kaum feudal Melayu juga dilihat sebagai punca. Pembelotan para pemimpin juga adalah hujah yang masuk akal.

Tetapi, sebenarnya jawapan kenapa mereka gagal keluar dari mulut mereka sendiri. Tajuk seminar ini sebenarnya – Why The Progresives Left Failed in Malaysia. Untuk saya jawapannya cukup senang. Para politikus, pemikir politik dan aktivis Ngo yang mengaku diri mereka progresif ini tidak memiliki bahasa pengucapan yang strategik. Mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu. Mereka berucap, bertutur, menulis dalam Bahasa Inggeris – kadang-kadang bahasa Inggeris yang digunakan ini juga turut sama menjadi porak peranda.

They are not connected with the very people they wanted to change. ( Saya menulis ayat ini agar mereka dapat memahami apa yang saya ingin katakan). Pengucapan bahasa yang bukan bahasa Melayu dalam konteks perubahan sosial di Malaysia samalah seperti saya berkhutbah di Iraq dengan menggunakan bahasa Tamil. Atau sama seperti saya melakukan satu gerakan sosial di Paris dengan pengucapan bahasa Rusia.

Dalam konteks politik hari ini Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan sosial tidak seharusnya menimbulkan persoalan nasionalisma sempit Melayu atau persoalan agenda ketuanan Melayu. Pekara-pekara seperti ini hanya akan ditimbulkan oleh kumpulan, parti-parti politik dan individu yang tidak mahu manusia Melayu berubah. Mereka yang tidak mahu mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik ini kerana mereka ingin manusia Melayu terus bonsai fikrah mereka.

Mereka akan cuba membalingkan kaca dan paku di atas lantai politik manusia Melayu yang ingin merubah negara ini. Mereka juga akan mengeluarkan hujah yang muluk-muluk tentang kepelbagaian bahasa yang mana akhirnya bahasa Inggeris akan digunakan. Ini dilakukan kerana kumpulan berjenis ini cukup sedar bahawa selagi manusia Melayu berfikrah bonsai dan bermimpi dalam dunia hak keistimewaan mereka selagi itulah cukong-cukong ini dapat terus merampok kekayaan negara ini.

Pada ketika ini, menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan sosial dalam negara ini adalah asas pertama. Asas ini wajib diterima oleh para aktivis politik, para aktivis Ngo dan untuk sesiapa sahaja yang ingin melakukan satu rombakan sosial. Sekali imbas kelihatan apa yang saya ajukan ini seperti tidak perlu ditimbulkan. Atau seperti kata Mao memukul anjing yang telah mati.

Tetapi dalam pengalaman saya, kemerosotan penggunaan bahasa strategik ini cukup terserlah terutama dalam kumpulan-kumpulan Ngo yang semakin dilihat syok sendiri berputar-putar dan berpusing-pusing dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam rangka kerja dan selebaran mereka. Kumpulan-kumpulan inilah yang paling amat sibuk dalam agenda perubahan sosial mereka.

Kerana itu saya ingin bertanya apakah Mak Cik dari Felda Taib Andak dapat membaca The Human Rights Report of Suaram. Atau membaca falsafah Jerman dalam bahasa Inggeris dari Pusat Pengucapan Terkangkang. Saya rasa kumpulan ini masih belum dapat memahami makna Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan. Mereka belum dapat merentas dari Petaling Jaya ke Kampung Kerinchi. Jauh sekali selebaran pengucapan mereka untuk difahami di Benut. Hakikatnya Mak Cik Felda dan Mak Cik dari Benut inilah kunci yang akan membawa perubahan sosial dalam negara ini.

Ketelengan dan kejulingan penggunaan bahasa strategik ini telah diampuhkan oleh arus globalisasi. Secara terancang badan-badan pengeluar dana telah memesongkan kesedaran dan kesucian hati nurani anak-anak muda dalam negara kita ini untuk melakukan pembelotan dengan meninggalkan bahasa strategik ini. Ini samalah seperti projek Rumsfeld yang menggalakkan anak-anak muda Iraq untuk meninggalkan AK47 dan pergi mengundi.

Untuk saya selagi tidak difahami dan dihayati konsep Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan maka kita akan terus gagal untuk melahirkan satu negara bangsa yang demokratik dan adil. Jika manusia Melayu terus gagal memahami apa yang kita ingin sampaikan kerana kita tidak menggunakan pengucapan yang mereka gunakan, maka ini bererti selama ini kita hanyalah terpancut diatas perut. Gagal melahirkan jenerasi baru.

Sumber: http://thericecookershop.com/hishamuddin-rais-bahasa-pengucapan/

Ulasan

Catatan Popular