SIRI PERSOALAN NASIONAL MALAYA OLEH HISHAMUDDIN RAIS

Pada 31 Ogos 2017, Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya menyambut hari kemerdekaan yang ke-60. Ya, bukan hari kemerdekaan Malaysia kerana Malaysia hanya dibentuk pada 16 September 1963.

Selama 60 tahun ini, masyarakat Malaya telah melalui era pembangunan. Pelbagai usaha pembangunan ekonomi seperti yang dilaksanakan dalam industri automobil tempatan dan pelaksanaan dasar2 mesra pelabur asing telah dilakukan oleh kerajaan Perdana Menteri dahulu. Menerusi Dasar Ekonomi Baharu, masyarakat disusun semula dengan skim pembangunan luar bandar (seperti rancangan FELDA, FELCRA). Kebanyakan infrastruktur asas turut ditambahbaik serta dimodenkan di kawasan bandar dan luar bandar.

Namun begitu, berbanding dengan Sabah dan Sarawak, wilayah Malaya ini kelihatan masih terperangkap dalam perselisihan/ kesalahfahaman/ kecelaruan setiakawan antara kaum dan masyarakat berbilang. Ini menunjukkan persoalan nasional di Malaya moden ini masih belum diselesaikan dengan jawapan/solusi/formula tuntas. Walaupun kerajaan banyak menyarankan perpaduan antara kaum dengan mengajukan macam2 moto, rancangan serta menerusi pergaulan sosial, namum prejudis antara kaum dan masyarakat di mana2 bidang masih berlarutan daripada generasi lalu sampai sekarang.

Pergolakan antara masyarakat Tionghoa dengan UMNO pada Oktober 1987, krisis Suqiu pada tahun 2000, polemik halal-haram, pertelingkahan hujah antara golongan Muslim dan bukan Muslim (ataupun 'Kafir' dalam istilah perhujahan Islam versi konservatif dan Salafi) terhadap 'Negara Islam', 'Hudud', perundangan Syariah, serta ucapan2 yang bermotif prejudis terhadap Melayu, Tionghoa, India dan kaum lain2 di kalangan politikus dan warga pelayar laman sosial telah banyak menunjukkan betapa pentingnya persoalan nasional wajib diselesaikan segera mungkin.

Yang berikut merupakan makalah2 yang dikarang oleh Hishamuddin Rais, seorang aktivis politik, pembicara politik dan kaki seni indie. Pemikiran kritis dan kritikal dapat dibaca dalam setiap baris ayat dalam makalahnya, malah mempunyai isi2 yang boleh diambil sebagai iktibar atau panduan dalam pencerakinan masalah2 yang berkaitan dengan persoalan nasional kita. Ia sangat berkait rapat dengan semangat setia kawan antara Yang Asal (orang asli, Melayu) dengan Yang Lain (Tionghoa/Cina, India dan sebagainya) di tanah air ini untuk membina negara bangsa.

Disertakan juga rumusan yang saya simpulkan bagi setiap makalah berkenaan.

Makalah ini mengisahkan peristiwa2 dalam persada politik, khususnya apa2 yang berkaitan dengan Bani Melayu, menjadi latar belakang yang mencetuskan idea persoalan nasional dalam fikiran pengarang. Untuk beliau, persoalan nasional yang masih belum diselesaikan serta masih menghantui usaha pembinaan tamadun bangsa adalah punca kecelaruan moral dalam perkembangan politik negara ini.

Makalah ini memaparkan beberapa peristiwa penting dalam perkembangan politik negara seperti tindakan politik Tun Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Jamal Yunos dan lain2 yang ditafsirkan oleh pengarang sebagai manifestasi persoalan nasional yang belum diselesaikan. Seterusnya, beliau mengajukan teori kehadiran 'yang lain' (the others) di Tanah Melayu sebagai punca kemunculan manifestasi berkenaan. Punca ini wajar diselesaikan dengan mencari asal-usulnya daripada babak2 sejarah.

3. Persoalan Nasional (2)
Makalah ini mula2nya mengisahkan bagaimana penjajah Inggeris berperanan sebagai 'Yang Lain' utama yang mencerobohi Tanah Melayu selepas memecahbelahkan keseluruhan alam Nusantara menerusi Perjanjian Anglo-Belanda 1824 dan Perjanjian Anglo-Thai 1909. Untuk melancarkan penjarahan sumber ekonomi di Tanah Melayu,  Bani Cina dan India dibawa masuk. Tahap fikrah dan intelektual masyarakat Bani Melayu ketika itu belum berkembang, jadi mereka tidak sedar akan kehadiran 'Yang Lain', serta dipaksa menerima Bani Cina dan India tanpa melalui proses adaptasi budaya secara undang2.

Makalah ini mengisahkan kesedaran nasionalisme di kalangan masyarakat Melayu di Tanah Melayu. Pada masa yang sama, fenomena sama turut berlaku dalam masyarakat Cina dan India, tetapi ia berorientasikan negara asal mereka masing2. Oleh yang demikian, kesangsian Melayu timbul dan merebak apabila arus gelombang nasionalisme tersebut tidak sampai ke matlamat terakhir seperti yang berjaya dicapai di Indonesia dan Filipina. Perasaan sangsi ini akhirnya menimbulkan psikik Melayu.

Pengarang memulakan wacana makalah ini dengan memetik kenyataan Lim Kit Siang pada tahun 1985 dan pada masa kini tentang tindak-tanduk Hadi Awang terhadap Najib Razak untuk mengisahkan psikik Melayu, perasaan halus atau sensibility Bani Melayu yang mengandungi kesangsian terhadap Bani 'Yang Lain'. Ia muncul sesudah mereka yang memasuki Tanah Melayu mengacau-bilaukan kelangsungan tamadun Melayu, dan muncul semula apabila Bani Melayu menghadapi projek Malayan Union.

Hak pegangan Pulau Batu Puteh dijadikan sebagai pembuka wacana untuk mengisahkan bagaimana pemisahan Singapura dari rantau politik tradisi Tanah Melayu dalam perancangan penjajah Inggeris menjadi suatu penghinaan buat Bani Melayu. Peristiwa ini juga dianggap sebagai salah satu komponen psikik Melayu di mana ia menafsirkan pemisahan Singapura sebagai tergadainya hak milik wilayah sendiri kepada Bani Cina, pihak 'Yang Lain' yang asing. Selain itu, pengarang turut mengisahkan bagaimana projek Malaysia dirancang untuk meredakan rasa tidak puas hati di kalangan Bani Melayu susulan tergadainya Singapura kepada 'Yang Lain'. Ia juga diwujudkan untuk mengimbangi populasi Bani Cina dengan menambah populasi Bani Melayu serta menguraikan semangat nasionalisme Nusantara yang bertunjangkan konsep Melayu Raya.

7. Ini Dia Psikik Melayu
Dalam makalah ini, reaksi dan pendapat dari pihak penentang projek Malaysia dicatatkan. Mereka menganggapnya sebagai projek neokolonisasi Inggeris. Selepas Malaysia ditubuhkan, perangai dan tindakan Lee Kuan Yew dari Parti Tindakan Rakyat (People Action Party, PAP) menyemarakkan api kemarahan yang menyebabkan suasana tegang antara Cina dengan Melayu. Karenah sedemikian akhirnya menyebabkan Singapura undur dari Malaysia pada tahun 1965. Peristiwa ini menjadi penyumbang psikik Melayu sehingga kini. 

Bermula dengan memetik kenyataan Lim Kit Siang tentang kelayakan mana2 warga Malaysia menjadi Perdana Menteri, makalah ini mengisahkan psikik Melayu, perasaan was-was Bani Melayu terhadap Bani 'Yang Lain' dan perasaan takut akan perpecahan dan kehilangan hak milik tanah airnya kepada Bani 'Yang Lain' (dilambang oleh Singapura, Lee Kuan Yew dan PAP), sering diperalatkan oleh United Malays National Organisation (UMNO) untuk mencari sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Makalah ini mengisahkan peranan Malaysian Chinese Association (MCA) sebagai pihak 'Yang Lain' dalam politik Malaysia dan psikik Melayu. Berasal dari kumpulan pro-Kuomintang di Tanah Melayu, parti ini bekerjasama dengan UMNO untuk mengalahkan Parti Komunis Malaya, dan juga memberi sokongan kewangan kepada pemimpin2 UMNO. Sebagai pulangan jasa, MCA direstui untuk rembat-merembat tanah yang asalnya milik negara dan Bani Melayu. Tindakan ini mendorong pengasingan dan pengetepian Bani Melayu sebagai Bani Asal daripada mengembangkan budaya tamadun bangsanya di bandar2.

Perasaan diri sendiri sedang dikepong sebagai manifestasi psikik Melayu dihuraikan dalam makalah ini. Pengarang menerangkan kedua2 tujuan UMNO mengepong minda Melayu, iaitu menanam perasaan takut dalamnya supaya tidak dapat memikir secara rasional/intelektual, dan satu lagi ialah memastikan Melayu terus bergantung dengan UMNO dalam aspek ekonomi. Bukan itu sahaja, hasil pengepongan minda Melayu juga digemari oleh para cukong kerana mereka dapat meneruskan rancangan rembat-merembat sumber ekonomi tanpa terbongkar oleh mana2 pihak.

Selain teori kedatangan Bani 'Yang Lain', pengarang turut mengemukakan bahawa faktor dalaman, iaitu tanggapan dunia bawah sedar Bani Melayu sendiri turut berperanan penting dalam pembentukan psikik Melayu. Untuk beliau, persoalan siapakah Melayu merupakan manifestasi sama ada jati diri atau identiti mereka kukuh atau sebaliknya. Oleh sebab Bani Melayu mempunyai kebudayaan diri sendiri sebelum kesampaian Islam, jadi kegagalan menghayati sejarah dan kekuatan tamadun diri sendiri menyebabkan mereka mengalami permasalahan jati diri bangsa.

Menerusi makalah ini, pengarang menegaskan bahawa jati diri sesekelompok bangsa yang kukuh adalah syarat/ hukum sosial dan tamadun yang amat penting untuk mewujudkan sesebuah negara bangsa dalam masyarakat majmuk. Ia juga faktor perdana dalam pembentukan budaya penakrif sebagai entiti budaya induk dalam sesebuah tamadun di dalam negara bangsa. Untuk beliau, ketidakhadiran jati diri dan kejahilan terhadap sejarah asal usul yang jelas akan menyebabkan mereka gagal mengasaskan budaya penakrif, terjerumus dalam sifat jiwa hamba, serta tidak dapat memperoleh penghormatan yang sewajarnya daripada bani2 lain.

Pengarang menerangkan faktor ekonomi sebagai punca kegagalan budaya Melayu muncul sebagai penakrif di Tanah Melayu. Sistem ekonomi kapitalisme yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris dan berkembang bersama kedatangan Bani Cina dan India mengatasi amalan ekonomi tradisional Bani Melayu. Hal ini menyebabkan mereka ketinggalan dalam bidang ekonomi, serta tiada kekuatan ekonomi untuk mengembangkan budaya mereka sebagai budaya penakrif di bandar2.

Pengarang menyarankan Bani Melayu menilai diri sendiri dan melakukan perubahan untuk memulihkan penghormatan daripada Bani Cina dan India. Memandangkan Bani Melayu kaum majoriti di Tanah Melayu, jadi langkah ini penting untuk menentukan hala tuju Malaya dan negara kita ketika perubahan politik dunia sedang menjelma dengan rancak. Untuk beliau, penyingkiran Najib-Rosmah dari tampuk kuasa politik dan pembanterasan budaya rasuah adalah contoh perubahan yang wajar dilakukan.

Persoalan nasional di Malaya yang dibelenggu oleh permasalahan Bani Melayu, psikik Melayu dan kehadiran Bani 'Yang Lain' wajar dirawat sebelum ia meledak jadi malapetaka yang membaraikan rupa bentuk Malaysia. Oleh itu, pengarang menyarankan semua pihak yang ingin mencari langkah2 penyelesaian wajib mengaku terlebih dahulu bahawa kehadiran tanda, manifestasi atau simptom permasalahan tersebut menunjukkan persoalan nasional masih belum tuntas. Akhir kata, beliau mengharapkan tulisannya akan mendorong perbincangan terbuka tanpa wasangka/prejudis di kalangan rakyat jelata supaya dapat mencari penyelesaian yang dapat membantu mendirikan negara bangsa moden.

31/8/2017
8.04 pm
(Dikemaskini pada 1, 2, 3 dan 4 September 2017)

Ulasan

Catatan Popular