PILIHAN RAYA NEGERI SABAH

Sewaktu wabak Covid-19 dan virus lompat-melompat masih menghantui seluruh dunia dan wadah politik masing2, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dijalankan dalam 60 hari nanti.

Disebabkan oleh tindakan Musa Aman yang mendalangi penggulingan kerajaan Warisan-PH-UPKO menerusi pengalihan sokongan ADUN tanpa melalui pilihan raya, iaitu tindakan lompat-melompat ke kem seteru, Shafie Apdal telah mengambil tindakan yang sangat pantas dan wajar untuk membubarkan DUN. Ia telah menggagalkan penumbangan kerajaan berkenaan, dan seterusnya menghentikan arus lompat-melompat di kalangan politikus. Lagipun, tindakan pembubaran DUN berkenaan telah secara tidak langsung menjadi dugaan buat gabungan baharu ('Perikatan Nasional' dalam percakapan orang ramai) yang komponen dan organisasinya masih belum dimuktamadkan.

Sebanyak 73 kerusi dibuka untuk pertarungan PRN ini. Ya, selain 60 kerusi yang sedia ada, 13 kerusi baharu juga ditambah menerusi persempadanan semula kawasan2 pilihan raya DUN Sabah dan diluluskan pada bulan Julai tahun lepas. Kerusi baharu berkenaan boleh direbut oleh mana2 kuasa politik sebanyak mungkin untuk memperkukuh kekuatan mereka.

Parti2 pemerintah yang buat masa kini masih memegang kerajaan negeri, iaitu Warisan dan PH telah berganding bahu di bawah pimpinan Shafie Apdal sebelum PRU14. Bersama dengan UPKO, kerjasama ini akan berterusan sepanjang PRN ini. Selain 13 kerusi baharu berkenaan, reputasi Warisan sebagai peneraju (atau tulang belakang) kerajaan negeri akan diuji berdasarkan prestasi pentadbiran pasukan Shafie Apdal dalam hal ehwal tempatan. Selain itu, PKR yang telah mengalami pergolakan dalaman selepas terkeluarnya kem Azmin Ali sejak Langkah Sheraton membuahkan hasil bakal diperhatikan sama ada ia masih mempunyai kekuatan untuk mengerahkan jentera pilihan raya untuk mengekalkan momentum dalam PRN ini. Selain itu, peluang DAP untuk meraih sokongan konsisten di kalangan pengundi kawasan bandar serta kebarangkaliannya sama ada bertanding di kerusi DUN Segama yang majoriti pengundinya terdiri oleh kaum Tionghoa sangat menarik diperhatikan. Penentu atau pembolehubah keputusan PRN ini bersandarkan peratusan pengundian berbanding dengan PRU14 selepas Langkah Sheraton mengecewakan para pengundi yang mengharapkan nafas politik baharu. 

Untuk kem seteru pula, UMNO Sabah (jenama baharu komponen United Malays National Organisation yang bertapak di Sabah sejak 1994) bersama dengan MCA dan PBRS dijangka berunding dengan PPBM dan parti2 tempatan (STAR, PBS dan sebagainya) untuk menentukan pengagihan kerusi2. Oleh sebab PPBM Sabah didirikan oleh kebanyakan bekas anggota UMNO Sabah, maka tidak mudah mereka berkompromi dengan UMNO Sabah. PAS Sabah pula kena bincang dengan mereka sambil mengenalpasti kekuatan dan tahap penerimaan di kalangan anak Sabah, terutamanya Bumiputera Muslim dan bukan-Muslim yang sekian lama menolak politik perkauman dan penunggang agama ala Malaya.

3/8/2020
11.54 pm

Ulasan

Catatan Popular