MENTERI BESAR PERAK YANG BAHARU

Sekali lagi, Menteri Besar Perak bertukar orang.

Tanggal 4 Disember lalu, Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh keyakinan majoriti ahli dewan undangan negeri (ADUN), maka beliau terpaksa meletak jawatan pada keesokannya. Susulan itu, percaturan politik antara United Malays National Organisation (UMNO dari Barisan Nasional), PAS (dari Muafakat Nasioanl dan Perikatan Nasional) dan Pakatan Harapan (terutamanya DAP) menjadi teka-teki sama ada untuk mengekalkan atau membentuk majoriti baharu dalam DUN Perak.

5 hari kemudian, Saarani Mohamad, ADUN Kota Tampan dan Pengerusi UMNO Perak dimuktamadkan sebagai Menteri Besar Perak baharu. Maka pada 10 Disember lalu, beliau mengangkat sumpah memegang jawatan tersebut.

Dalam kata yang lebih mudah, jawatan Menteri Besar Perak akhirnya kembali ke tangan United Malays National Organisation selepas 9 bulan berlakunya Langkah Sheraton dari peringkat persekutuan ke negeri. Apabila PPBM bertindak keluar dari Pakatan Harapan dan menjalin kerjasama dengan UMNO dan PAS serta geng Azmin Ali, pertukaran kerajaan negeri berlaku di Johor terlebih dahulu. Ia kemudian merebak ke Melaka, Perak dan Kedah. Jawatan Menteri Besar Johor yang pada asalnya dipegang oleh PPBM bertukar tangan ke UMNO. Hal ini juga berlaku di Kedah walaupun yang memegang jawatan berkenaan di Kedah ketika itu dari kem pro-Mahathir.

Saya anggap Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri Besar Perak ketika itu bernasib baik kerana beliau masih diberikan keyakinan oleh rakan2 baharu untuk terus menerajui pentadbiran negeri walaupun kekuatan UMNO (yang terdiri daripada 25 orang ADUN) jauh lebih menonjolkan berbanding dengan PPBM yang asalnya mempunyai 2 orang ADUN. Walaupun beliau akhirnya 'ditentang keluar', namun kerjasama UMNO, PAS dan PPBM masih berterusan untuk terus memegang kuasa pentadbiran negeri berkenaan, biarpun perselisihan berlaku antara penyokong dan penolak Ahmad Faizal Azumu.

Kini, barisan majlis mesyuarat eksekutif (EXCO) di bawah penerajuan Saarani Mohamad tidak banyak berubah, cuma ahli baharu telah dilantik untuk mengganti bekas Menteri Besar. Selain itu, portfolio bagi EXCO PAS turut bertukar: Razman Zakaria selaku Pesuruhjaya PAS yang asalnya memegang portfolio pendidikan, pembangunan modal insan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bertukar tangan untuk memegang portfolio pertanian, perladangan dan industri makanan. Manakala Mohd Akmal Kamaruddin yang asalnya memegang portfolio agama Islam dan penerangan juga bertukar tangan ke portfolio sains, alam sekitar, teknologi hijau dan kesihatan. Penukaran portfolio tetap jadi walaupun terdapat suara kecil bahawa portfolio EXCO PAS wajar dikekalkan.

Barisan EXCO di bawah Ahmad Faizal Azumu yang berada di kem gabungan UMNO-PAS-Persatu Perak sejak Mac 2020. (Sumber: Perak Gazette)

Barisan EXCO di bawah Saarani Mohamad tidak banyak berubah berbanding dengan barisan yang diterajui oleh pendahulu beliau. (Sumber: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak)

-------------------

Selepas Langkah Sheraton berlaku, saya nampak pergelutan pemimpin pembangkang berlaku secara diam-diam antara penyokong tegar Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad. Ada juga menaruh harapan terhadap Shafie Apdal atas potensi beliau untuk menggalang persefahaman parti2 pembangkang. Di sebelah sana pula, Muhyiddin Yassin yang berjaya merampas jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac lalu kelihatan semakin kukuhnya kedudukan. Persefahaman antara UMNO, PAS dan PPBM masih 'substantial' untuk mengekalkan majoriti tipis di kalangan ahli parlimen walaupun pergelutan berlaku secara diam-diam antara satu sama lain untuk mendominasikan arena dan wacana politik Melayu Muslim menjelang PRU-15.


27/12/2020

12.44am

Ulasan

Catatan Popular