PRU15?

Kita tidak tahu bila akan adakan PRU15. Pada setakat ini Perdana Menteri kita belum mempertimbang pembubaran parlimen. Namun begitu, saya yakin PRU15 bakal menjelma pada tahun 2022, iaitu tahun ini. Kalau saya Ismail Sabri, saya juga akan pilih hari2 selepas bulan Mei untuk mengusulkan pembubaran parlimen. Hal ini kerana saya ingin menghadiahkan 'hadiah istimewa' kepada warganegara yang sudah lama tidak mampu balik kampung sejak tercetusnya pandemik. Oleh sebab saya sedar bahawa diri sendiri dinobatkan kerana pilihan raya tidak sesuai dilakukan pada sekitar Ogos 2021 untuk memilih kerajaan baharu, maka kuasa kepimpinan juga kurang stabil seperti Mahiaddin Yassin. Saya juga ingin menonjolkan diri sendiri bahawa 'hadiah' berkenaan boleh menyakinkan mereka bahawa Barisan Nasional (BN) adalah satu2nya perikatan parti yang mampu mengembalikan kestabilan negara yang kian samar2 selepas Langkah Sheraton. 

Oleh sebab BN yang diterajui oleh United Malays National Organisation (UMNO) telah memenangi PRN Melaka, maka ia dijangka terus mencabar Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh PPBM. Mereka memang mementingkan maruah parti nasionalis terunggul di arena politik Melayu Islam pasca-PRU14. Untuk mereka, 'varian' PPBM yang beraurakan 'Abah' Mahiaddin Yassin seakan2 lebih dahsyat dan memudaratkan berbanding dengan varian2 SARS-CoV2. Dengan adanya PRU15, UMNO akan mengambil peluang untuk membalas dendam dengan 'membelasah' PPBM dan pembangkang lain-lain dengan sepenuh2nya.

Memandangkan bantuan pemulihan ekonomi negara sedang rancak diagihkan atas nama 'Keluarga Malaysia', kekebalan kelompok telah lama dicapai menerusi kadar penvaksinan yang tinggi, serta tiada kemuncak wabak hadir selepas kedua2 PRN di Melaka dan Sarawak, maka saya yakin tiada pihak akan mempersoalkan kewajaran PRU15 pada masa2 terdekat. Seperti biasa, Pakatan Harapan (PH) sebagai pihak pembangkang terbesar membangkang. Ia sebenarnya menunjukkan keresahan di mana trend politik dan sambutan orang ramai yang tidak memberangsang tidak membantu mereka mengekalkan kecemerlangan semacam PRU14. Lagipun Parti Warisan yang baru saja bertapak di Malaya serta parti2 baharu seperti MUDA, Parti Kuasa Rakyat dan Parti Bangsa Malaysia bersiap sedia untuk mencabar kewibawaan PKR dan sekutunya sebagai peneraju aliran liberal dan keterangkuman dalam arena politik.

Akhir sekali, keputusan PRU15 sangat bersandarkan kadar pengundian orang ramai, terutamanya di kalangan perantau yang berada di luar negara seperti Singapura, dan pengundi atas pagar yang biasanya kurang berminat pasal sandiwara politikus. Pengundi muda yang berdaftar atas inisiatif Undi18 juga berperanan penting. Sekiranya kadar berkenaan jatuh merundum berbanding dengan 84% pada PRU14, maka kebarangkalian PH mengulangi corak keputusan PRU14 akan berkurangan secara mendadak. Kehadiran barisan2 parti yang berbagai-bagai juga menguji kemampuan dan keanjalan sistem pemilihan wakil rakyat dan demokrasi berparlimen untuk menentukan kelancaran pembentukan kerajaan.

14/1/2022

11pm

Ulasan

Catatan Popular