ULANG TAHUN KELAHIRAN KE-200 BUAT GREGOR MENDEL
Ini kacang pea. Ia mudah dijumpai di pasar dan kebun sayuran. Sedap dimakan kalau masak dengan lobak dan daging, serta dimasak dengan sup.
Untuk kita, kacang pea tidak seperti sayuran lain2 seperti sawi, kangkung dan cili yang sentiasa dijumpai dalam pasar dan masakan. Akan tetapi, kacang pea inilah mencetuskan revolusi akademik yang banyak mempengaruhi perkembangan sains dan teknologi. Saya yakin setiap penuntut ilmu kaji hayat atau biologi pasti mengenali kisah kacang pea yang berkaitan dengan tokoh yang berikutan.
Gregor Johann Mendel pengasas pengkajian ilmu genetik yang penting dalam pembangunan ilmu biologi. Beliau lahir pada 20 Julai 1822. Tanggal hari 22 Julai yang sering dijumpai dalam kebanyakan biodata merupakan hari beliau menerima baptisme Kristian. Pada 200 tahun lalu, perkembangan ilmu hayat sedang berjalan. Benua Eropah pada ketika itu sedang mengalami Revolusi Sains yang diterajui oleh British, Jerman dan Perancis. Namun begitu, Mendel yang lahir sebagai warganegara Empayar Austria di kawasan yang kemudian dikenali sebagai Hynčice, Czech Republic telah mengharumkan reputasinya dalam bidang biologi.
Mendel menjadi biarawan pada usia 21 apabila isi keluarganya tidak mampu menanggung pembiayaan untuk meneruskan pembelajaran. Walaupun beliau ahli gereja dari pangkat biarawan ke paderi sehingga ketua biara (abbot), namun dia turut menjadi guru, dan pada masa yang sama menceburi penyelidikan sains di halaman taman dan rumah hijau biara. Penyelidikan beliau dijalankan dari 1856 hingga 1863 dengan menanam kacang pea, mengkaji sifat-sifat yang ditonjolkan daripada pembiakan dan pengacukan tanaman tersebut.
Laporan yang menyimpulkan hasil penyelidikan kacuk kahwin tanaman kacang pea dikemukakan pada 1865 dalam persidangan akademi, namun tidak mendapat perhatian yang memberangsangkan daripada pakar2 pada ketika itu. Ia ditemukan semula oleh Hugo de Vries dan Carl Correns pada 1900, iaitu 16 tahun selepas beliau meninggal dunia. Hasil penyelidikan yang dirumuskan oleh Mendel telah dikenali sebagai Hukum Pewarisan Mendel di mana ia menjelaskan corak dan nisbah sifat genotip dan finotip sama ada yang menonjolkan (dominan) atau tersembunyi (resesif) diwariskan dari generasi pertama ke generasi kedua dan seterusnya. Ilmu ini menjadi asas kajian genetik yang seterusnya membantu para saintis mengkaji sifat-sifat pewarisan genetik dalam spesis manusia, haiwan, tumbuhan dan makhluk halus seperti bakteria dan kulat.
Sesiapa yang belajar dan mendalami ilmu biologi wajar bersyukur dengan sumbangan Gregor Johann Mendel dalam pengkajian genetik. Beliau bukan saja menyediakan asas penyelidikan dalam bidang genetik dan sebarang ilmu disiplin yang berkaitan dengannya, malah membantu kita untuk lebih memahami corak dan sifat pewarisan genetik dari generasi nenek moyang ke generasi cucu cicit.
Nota: Tapak bersejarah yang mengabadikan legasi Gregor Mendel akan dimasukkan dalam senarai hajat kalau saya ada peluang untuk melancong di Czech Republic.
Bacaan lanjut: Sini
21/7/2022
10.12pm
Ulasan
Catat Ulasan