TENTANG FILEM 'MAT KILAU'
Filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' telah ditayang sejak 23 Jun lalu. Walaupun saya menonton di panggung wayang gambar pada beberapa hari selepas ia ditayang, namun sambutan kelihatan masih memberangsangkan. Dilaporkan filem ini meraih sebanyak RM80 juta pada 16 Julai lalu. Ia telah mendapat sambutan yang jauh lebih hangat dalam masyarakat Melayu, dan terus menarik perhatian daripada rakyat marhaen dan orang politik. Ia turut mendapat kritikan dan pujian secara serentak yang disiarkan dalam media sosial.
Baiklah, apakah yang saya memahami dari jalan cerita filem ini?
1. Jalan cerita ditayang dengan aksi dan pertunjukan koreografi, bukan hanya dengan buah mulut dari pihak lain. Sebelumnya ada sesebahagian filem luar negara gemar menceritakan perwatakan seseorang watak dengan buah mulut watak lain.
2. Penggunaan bahasa Melayu tradisional telah ditunjukkan sepanjang filem ini. Watak bukan Melayu (kecuali watak askar upahan Gurkha) juga menutur bahasa Melayu, terutamanya Goh Hoi yang menutur bahasa Melayu dengan lancar tanpa mencampur aduk loghat Cina, dan Jeneral Syers yang terus terang mengeluarkan amaran di depan penduduk kampung dengan tona angkuh.
3. Persoalan tentang emosi lawan akal merupakan salah satu paksi utama dalam jalan cerita. Ia terserlah menerusi konfliks antara Mat Kilau dengan Awang. Sikap Awang yang berpanas baran dan melaksanakan perancangannya tanpa persetujuan sebulat telah menyebabkan akibat yang jauh lebih dashyat terhadapnya. Untuk Mat Kilau pula, beliau bukan saja mampu meredakan emosi apabila mengetahui perangai Awang selepas gagal dilantik sebagai ketua, malah bertindak untuk mengampuni Awang demi tujuan yang lebih mustahak.
4. Filem ini juga menunjukkan erti pengorbanan yang perlu diharungi oleh seseorang yang menentang penindas. Contohnya, Wahid terpaksa menelan pahit apabila tragedi yang menimpa isterinya dan anak yang masih berada kandungan berlaku di depan matanya. Selain itu, pilihan dan risiko wajib diambil apabila ia berkaitan dengan soal hidup dan maut sesekumpulan. Sebagai contoh, Mat Kilau mengambil keputusan untuk memaafkan Awang kerana beliau perlukan setiap anak buahnya untuk melaksanakan strateginya. Begitu juga dengan Pak Deris; pada awalnya dia ragu-ragu untuk menyokong perjuangan yang menyebabkan anaknya seksa didera dalam lokap Inggeris, namun dia akhirnya bekerjasama dengan Mat Kilau secara senyap demi pembelaan maruah bangsa dan negara.
5. Penerapan nilai ajaran agama sebagai panduan perjuangan menentang kezaliman terserlah dalam jalan cerita. Ayat-ayat yang diucap oleh Mat Kilau dalam bahagian peleraian telah menegaskan bahawa budaya dan adat Melayu mampu berlangsung hanya apabila Islam terus ditegak sebagai panduan dalam perjuangan. Saya yakin kedua-dua Muslim dan bukan Muslim pasti dapat memahami kata-kata hikmah yang diungkap oleh mereka apabila menghadapi dugaan dan konfliks.
Adakah kehadiran watak bukan Melayu dalam filem membawa kotonasi penghinaan terhadap kaum bukan Melayu? Jawapan saya: TIDAK. Saya tidak tersinggung dengan kehadiran Goh Hoi sebagai satu-satunya watak Cina dalam filem ini. Hal ini kerana saya sedar bahawa ramai migran Cina telah berada di Tanah Melayu sekitar tahun 1892 untuk mencari rezeki. Pada ketika itu mereka masih taat setia kepada China yang di bawah dinasti Qing. Maka saya tidak terperanjat apabila terdapat saudagar Cina yang telah mendirikan bisnesnya bekerjasama dengan pihak British untuk mencari rezeki.
Kesimpulannya, saya yakin kualiti yang terserlah dalam filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' boleh membawa reputasinya nun jauh ke persada perfileman antarabangsa. Selain menjana perkembangan sihat buat industri seni kreatif tempatan, karya sedemikian boleh menggalak orang ramai untuk mengambil tahu kisah-kisah tanah air yang bersejarah.
1/8/2022
Ulasan
Catat Ulasan