505: ULANG TAHUN KE-10
10 tahun lalu, iaitu 5 Mei 2013, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dilangsungkan di peringkat parlimen persekutuan dan DUN negeri (kecuali Sarawak). Ketika itu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) diketuai oleh Najib Razak (PM6) dan Anwar Ibrahim (PM10) masing2. Ya, Anwar Ibrahim buat kali pertama mengetuai perikatan pembangkang untuk menyertai PRU berkenaan selepas dilepaskan daripada penjara.
Oleh sebab PRU12 pada 8 Mac 2008 telah membuahkan hasil yang sangat mengejutkan buat parti2 pembangkang (DAP, PKR dan PAS) ketika itu, jadi PR sangat yakin untuk memenangi PRU13. Untuk BN pula, Najib Razak yang mengajukan gagasan '1 Malaysia' berusaha untuk mempertahankan Putrajaya. Akhrnya, keputusan PRU13 menunjukkan BN berjaya mengekalkan mandat pentadbiran di Putrajaya, dan Najib Razak terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga Mei 2018. Untuk PR pula, impian menawan Putrajaya tidak kesampaian. Selain gagal menawan semula Perak, ia juga gagal mempertahankan Kedah daripada serangan BN. Lantaran itu, penyokong merasa kecewa. Anwar Ibrahim pula menghadapi tuduhan liwat kedua pada tahun seterusnya, dan dicampak ke penjara mulai Februari 2015 sehingga Mei 2018. Hayat PR tamat apabila DAP berpisah dengan PAS pada Jun 2015 susulan persengketaan tentang hala tuju perikatan itu.
10 tahun selepas PRU13, kini Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri, serta menjalankan amanah sebagai ahli parlimen Tambun. Beliau juga menerajui kerajaan campuran yang dikenali sebagai 'Kerajaan Perpaduan' sejak 24 November 2022. BN yang dahulunya pesaing politik PR pada tahun 2013 kini duduk bersama Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, serta bersama-sama mentadbir di negeri Perak dan Pahang. selepas PRU15. Di Melaka pula, PH diterima sebagai rakan kongsi pentadbiran bersama BN mulai Mac tahun ini. Namun begitu, kedua-dua blok perikatan sedang menghadapi gelombang politik yang ditiup oleh Perikatan Nasional, satu lagi perikatan politik yang terdiri daripada PAS (bekas rakan sekutu PR), PPBM (bekas rakan sekutu PH) dan Gerakan (bekas rakan sekutu BN).
Najib Razak pula kini merangkuk di dalam penjara susulan kes rasuah syarikat SRC. Walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri sejak Mei 2018, namun beliau berjaya meniup gelombang 'Bossku' sejak Januari 2019. Gelombang glamor ini berkekalan sehingga Ogos 2022 apabila beliau dimasukkan ke dalam Penjara Kajang. Namun begitu, penyokong setia tetap mengharapkan Najib Razak dapat dibebaskan sama ada menerusi pengadilan atau pengampunan diraja.
5/5/2023
9.43pm
Ulasan
Catat Ulasan