509: ULANG TAHUN KE-5

5 tahun lalu, 9 Mei 2018, merupakan hari bersejarah buat tanah air kita. Pada tanggal hari itulah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dilangsungkan di peringkat parlimen dan negeri (kecuali Sarawak). PRU ini membuahkan penukaran parti kerajaan buat kali pertama dalam sejarah tanah air kita. 

5 tahun lalu, perikatan kerajaan dan pembangkang yang masing2 bernama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dipimpin oleh Najib Razak dan Tun Mahathir Mohamad. Ya, satu yang memegang Perdana Menteri dari 3 April 2009, dan satu lagi pernah memegang jawatan Perdana Menteri dari tahun 1981 sehingga 2003. Tun Mahathir anggota United Malays National Organisation sebelum undur parti itu pada 29 Februari 2016 dan menubuhkan parti nasionalis Melayu, PPBM. Parti baharu ini menyertai PH, lantaran menjadi tunjang nasionalis Melayu dalam perikatan tersebut.  

Oleh sebab tanggal hari pengundian PRU14 merupakan hari Rabu, iaitu hari bekerja, maka ramai orang mengkritik keputusan SPR yang menetapkan hari pengundian sedemikian. Namun begitu, ia telah membangkitkan semangat yang membara dalam kalangan pengundi, terutamanya yang menetap di luar negara. Selain itu, pertarungan dalam PRU14 sengit, malah keputusan akhir masih belum dimuktamadkan menjelang tengah malam 10 Mei sehingga kira2 pukul 5 pagi. 

Keputusan PRU14 telah menunjukkan BN yang menjadi parti kerajaan sejak 1957 telah gagal mencapai majoriti dewan Rakyat. PH pula memperoleh 113 kerusi, yakni majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu. Kedudukan ini diperkukuh dengan adanya sokongan daripada Parti Warisan Sabah. Lantaran itu, Tun Mahathir Mohamad dilantik sebagai PM7 pada malam 10 Mei 2018. Tambahan pula, keputusan di peringkat negeri pula menunjukkan PH layak membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ketiga2 kubu kuat BN ini berjaya ditembusi oleh PH atas gelombang anti-Najib yang lebih kuat dalam kalangan pengundi negeri. Untuk PAS pula, selain mengekalkan mandat pentadbiran di Kelantan, ia juga berjaya memperoleh majoriti mudah untuk mendirikan kerajaan di Terengganu selepas menewaskan BN. Di Kedah pula, PH sebagai juara diberikan mandat untuk membentuk kerajaan susulan kegagalan BN dan PAS Kedah untuk mencapai majoriti mudah. 

Manakala di Perak dan Sabah pula, keadaan persidangan tergantung (hung assembly) berlaku apabila tiada parti mencapai majoriti. Di Perak, PH, BN dan PAS (atas nama Gagasan Sejahtera ketika itu) memenangi 29, 27 dan 3 kerusi masing2. Keadaan ini berleraian apabila PH memperoleh majoriti mudah dengan sokongan tambahan daripada 2 ahli dari BN. 

Manakala di Sabah pula, BN dan gabungan Warisan dan PH Sabah memenangi 29 dan 29 kerusi masing. Bakinya 2 kerusi dimenangi oleh STAR. Pada mulanya STAR bekerjasama dengan BN, maka Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri. 1 hari kemudian, UPKO undur dari BN, dan mengalih sokongan kepada Shafie Apdal, pemimpin yang diangkat untuk menerajui gabungan Warisan dan PH Sabah. Susulan perubahan itu, Shafie Apdal dilantik sebagai Ketua Menteri baharu untuk menggantikan Musa Aman yang hanya menjadi Ketua Menteri selama 2 hari sahaja selepas PRU14. 
 
Dalam kata2 ringkas, 9 Mei 2018 merupakan tarikh penting dalam sejarah tanah air kita. Ia melambangkan penukaran parti kerajaan yang aman tanpa menumpah darah. Ia juga menandakan normalisasi penggiliran parti kerajaan, baik semasa Langkah Sheraton atau penubuhan Kerajaan Perpaduan pasca-PRU15. Tiada parti politik berani bernafsu untuk perintah selama ribuan atau selama2nya.
Walaupun kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamad (PM7) tumbang susulan Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020, namun saya tidak kesesalan dengan pilihan saya untuk mengundi calon PH pada 5 tahun lepas. 

9/5/2023
11.09pm

Ulasan

Catatan Popular