DRAMA TIKAM-MENIKAM (SIRI 2)

Sepanjang separuh awal tahun ini, kita menyaksikan sandiwara tikam-menikam dalam Perikatan Nasional (PN). Ia bermula di Perlis pada hujung tahun 2025 apabila PAS berasa tidak puas hati dengan tingkah laku Bersatu dalam isu Menteri Besar. Percikan ini merebak apabila Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 1 Januari 2026. Langkah ini bersejarah kerana beliau merupakan antara pemain politik yang menjayakan Langkah Sheraton dengan rancaknya selain geng Azmin Ali.

Pada Februari 2020, Bersatu menjalinkan hubungan dengan PAS selepas bertindak keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH), dan menjadi parti peneraju dalam PN sepanjang zaman Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi. Disebabkan parti itu ditubuhkan oleh pemimpin2 yang keluar (atau terkeluar) dari United Malays National Organisation (UMNO) yang masih bertunjangkan ideologi nasionalisme Melayu, maka ia ditafsirkan sebagai parti alternatif yang menyaingi UMNO. PAS pula parti Islamisme yang menunjangkan kepimpinan ulama sejak 1980-an. Ia bukan saja berjaya memenangi Kelantan sejak 1990, malah berjaya menawan semula Terengganu pada 2018.

Langkah Sheraton telah membuka ruang baharu untuk melebarkan pengaruh PAS dalam pentadbiran peringkat negeri dan persekutuan: selain menjawat menteri kerajaan persekutuan, PAS turut meneraju pentadbiran negeri Kedah, serta menyertai barisan pentadbiran negeri Perak dengan menjawat jawatan EXCO. Justeru itu, parti ini memperolehi pencapaian yang jauh lebih cemerlang dalam PRU15 dan PRN 6 Negeri, serta menyapu hampir semua kubu tradisi UMNO di sebelah utara Semenanjung dan Pantai Timur. Ya, UMNO terkena dengan tempiasnya walaupun duduk bersama dengan PN dalam kerajaan negeri dan persekutuan.

Di sebalik kekuatan PN dalam arena politik Melayu, keretakan persefahaman dalam PN mula terserlah apabila agihan jawatan EXCO dlm struktur pentadbiran negeri lebih memihakkan PAS. Tidak lama kemudian, gagasan SG4 yang menggemblengkan 4 kerajaan negeri pimpinan Menteri2 Besar PAS ditubuhkan untuk membina 'blok autonomi' yang menegakkan identiti politik Melayu Islam yang lebih mandiri berbanding dengan zaman dahulu. Bekas Perdana Menteri merangkumi bekas seteru politik, Tun Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat gagasan tersebut. Ia ditafsirkan sebagai langkah PAS untuk melangkaui kewibawaan Muhyiddin Yassin, serta menyampaikan mesej tersirat bahawa PAS bersiap siaga untuk menerima bekas seterunya demi gagasan Perpaduan Melayu Islam untuk menawan Putrajaya dan seterusnya menjawat jawatan Perdana Menteri. Memandangkan kekuatan PN sebenarnya terdiri daripada kedua2 jentera politik PAS dan golongan pengundi tegar PAS yang amat setia dengan garis perjuangan Islamisme, maka PAS kini dianggap sebagai parti peneraju de facto. Mobilisasi parti itu turut terserlah daripada kenyataan2 yang disampaikan oleh presiden PAS Hadi Awang yang semakin hari semakin menegaskan betapa mustahaknya peranan PAS untuk menggabungkan naratif Perpaduan Melayu Islam dengan garis perjuangan Islamisme yang sedia ada supaya mempertahankan hak2 Melayu Islam dari 'ancaman anasir Barat, liberalisme, sekularisme dan pluralisme kebudayaan' (baca: PH, Anwar Ibrahim dan DAP).

Selain itu, isu calon Perdana Menteri PN turut merancakkan keretakan berkenaan apabila terdapat suara diuar-uarkan bahawa Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar lebih layak dijulang sebagai calon Perdana Menteri dari PN. Ia kelihatan tidak menyahut seruan Bersatu untuk mengangkat Muhyiddin Yassin semula sebagai calon walaupun beliau bekas Perdana Menteri ke-8 (1/3/2020 - 16/8/2021). Hal ini tidak mengejutkan memandangkan Samsuri merupakan anak didikan Hadi Awang yang menampilkan wajah kepakaran profession (teknokrat) namun tetap taat setia kepada garis perjuangan Islamisme ala PAS. Beliau dilantik sebagai Pengerusi PN baharu pada 22 Februari, sekali gus menguasai hala tuju PN pasca-Muhyiddin.




Di samping itu, persengketaan mula bercambah antara kem Hamzah Zainuddin (timbalan presiden Bersatu) dan kem Muhyiddin Yassin: bermula dengan menyuarakan rasa bingung terhadap kewibawaan Muhyiddin, ia menjadi runcing susulan prestasi Bersatu yang gagal memenangi kerusi DUN dan mengalahkan bekas rakan kongsinya (yang kini duduk dalam PGRS) dalam PRN Sabah pada November 2025. Walaupun beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN, namun sentimen tidak puas hati terhadapnya tetap memuncak. Akibatnya kelompok yang lantang menentang itu dikenakan tindakan disiplin parti, sama ada terus dipecat atau dibekukan keahlian selama penggal tertentu. Ya, kemuncak gelombang ini tercapai apabila Hamzah Zainuddin dipecat dari Bersatu pada 13 Februari. Susulan itu, mereka mengaturkan gerakan RESET di bawah pimpinan beliau. PAS pula kelihatan mengambil kesempatan untuk mendampingi gerakan RESET atas nama gagasan perpaduan ummah, tidak mengambil endah terhadap air muka Bersatu.

Penubuhan Parti Wawasan Negara mendapat restu dari PAS, terutamanya Hadi Awang, dan Hamzah Zainuddin dilantik sebagai pengerusi baharu. Pada masa yang sama, beliau juga dilantik semula sebagai ketua pembangkang parlimen selepas Ahmad Samsuri memegang jawatan buat sementara.

Langkah ini ditafsirkan sebagai hasil mutakhir daripada sandiwara tikam-menikam dalam PN: berjaya melemahkan kedudukan Bersatu dan melonjakkan dominasi PAS, mendampingi geng Hamzah yang kelihatan lebih cenderung dengan PAS, serta menjenamakan PAS semula sebagai satu-satunya gerakan massa yang menjulangi gagasan Perpaduan Melayu Islam beracuankan garis perjuangan Islamisme. Percayalah, sandiwara ini tidak berakhir begitu sahaja, maka lembaran baharu yang lebih sengit bakal terbentang selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan dilangsungkan nanti.


3/7/2026

12.00am

Comments