SEJARAH IBARAT CERMIN SESEBUAH MASYARAKAT, NEGARA DAN BANGSA

Sejarah merupakan kisah dan susur galur sesebuah tamadun dari zaman dahulu sehingga sekarang. Ia juga merupakan sumber kemanusiaan yang tidak ternilai. Oleh itu, seseorang yang mengabaikan fakta-fakta sejarah yang sebenar akan memesongkan nasib bangsa sendiri, bahkan identiti kebangsaan akan juga digadai. Mana-mana negara, masyarakat dan bangsa yang sengaja melenyapkan sejarah lampau akan menyebabkan ketandusan kematangan akal di kalangan anggota entiti tersebut.

25 tahun lalu, tanggal 4 Jun 1989, dunia masih mengalami zaman Perang Dingin. Di tanah besar China, pembaharuan ekonomi dan sosial sedang giat dijalankan di bawah penyeliaan Parti Komunis China. Pada masa itu, orang ramai itu mula merasai potensi tanah besar China yang akan menyerlahkan prestasi yang bakal melangkaui pengaruh Amerika Syarikat dan Jepun. Namun, pada hari itulah, tercetusnya peristiwa yang sangat menyedihkan. Peristiwa yang menggemparkan sedunia ini dikenal sebagai 'Peristiwa Tian-an-men (天安門事件)' atau 'Tragedi 4 Jun'. Pada sekitar wal hari itu, suasana masih gelap, ramai pelajar muda yang menyertai perhimpunan penuntutan pembaharuan demokrasi negara telah dicederakan, ditangkap dan ditindas secara keras oleh pihak tentera. Pada awalnya, perhimpunan yang diakhiri dengan peristiwa berdarah tersebut ditakrif oleh pihak kerajaan tanah besar China sebagai 'gerakan anti-pemerintahan yang cuba menggulingkan mandat kerajaan sosialis'. Kemudian, rakyat tanah besar China dihalang daripada mengambil tahu akan informasi tentang peristiwa tersebut.

25 tahun sudah berlalu, tanah besar China telah melonjakkan prestasi fizikal kepada taraf seakan-akan negara kuat, selepas Amerika Syarikat. Kemewahan dapat dijumpai di mana-mana metropolitan China. Beijing, Shanghai, Guangzhou, Chongqing dan kota lain berkembang pesat seiring dengan arus globalisasi. Anugerah kemewahan yang dilimpahi bersama keuntungan luar biasa sedang dinikmati. Sesiapa yang mengenali dunia alaf ke-21 ini akan mengenali betapa kuatnya pengaruh tanah besar China terhadap bidang politik, kebudayaan dan ekonomi. Walau bagaimanapun, Parti Komunis China selaku kerajaan tanah besar China masih enggan mengizinkan warganegaranya mengetahui peristiwa berdarah tersebut. Malah ia mengambil operasi waspada apabila menjelang tarikh 4 Jun tiap-tiap tahun. Para aktivis diberi amaran keras untuk mendiamkan sendiri, para polis sibuk membuat pemantauan ketat di kawasan dataran Tian An Men, dan terus menekan kebebasan akhbar dan bersuara di kalangan rakyat jelata. Sampai sekarang, pemuda-pemudi China masih kabur, dan tidak tahu akan kewujudan peristiwa berdarah tersebut. Malang sekali, mereka turut mendiamkan sendiri daripada menyuarakan sebarang ketidakadilan kerana takut 'dilenyapkan' oleh pihak-pihak tertentu, dan takut 'dihentam' oleh media arus perdana yang dikawal rapi.

Akhir kata, biarpun sejarah sangat mendukacitakan, namun mana-mana pihak wajar menghadapi sejarah. Biarpun ia tidak memihakkan pihak tertentu, namun ia wajar diiktiraf sebagai detik bersejarah yang pernah berlaku pada zaman lampau. Sejajar dengan ini, peristiwa 4 Jun 1989 akan terus menghantui tanah besar China daripada pengawai-pengwai tertinggi yang berjawatan agung sampai ke rakyat jelata yang bekerja sebagai buruh biasa, jika kerajaan enggan mengambil tindakan untuk memulihkan kisah-kisah di sebalik tragedi tersebut.

saya percaya bahawa China akan menjadi salah satu 'superpower' yang bakal mempengaruhi kehidupan setiap orang suatu masa kelak. Tak kiralah negara kecil atau membangun, jika tanah besar China gagal menegakkan contoh-contoh keperikemanusiaan, saya hanya menduga bahawa negara lain akan ikut karenah 'superpower' tersebut, tanpa peduli akan akibatnya.

5/6/2014
2.25 pm

Ulasan

Catatan Popular