'NORMAL BAHARU' BUAT U.M.N.O

United Malays National Organisation (UMNO) parti nasionalis Melayu yang lama memegang kuasa semenjak kemerdekaan Malaya sehingga Mei 2018. Selama ini UMNO berperanan sebagai 'abang besar' atau 'taiko' dalam perikatannya, Barisan Nasional (BN). Segala percaturan anggota perikatan berkenaan dikawal rapi olehnya. Sangat sangat jarang UMNO menunduk kepada kehendak anggota perikatan. 

Namun begitu, UMNO dilihat tidak lagi berperanan sebagai 'abang besar' dlm kerajaan persekutuan baharu. PAS sbg rakan kongsi Muafakat Nasional lebih berminat terhadap Perikatan Nasional (PN) yang diinisiatif oleh Bersatu. Muhyiddin Yassin yang menerajui inisiatif PN dilihat sebagai pemain politik yang semakin teguh disebabkan taktik beliau yang handal memanipulasi hubungan antara UMNO dan PAS, serta berjaya mengangkat nama besarnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac lalu dan dasar2 yg berkaitan dgnnya. Nama jolokan 'Abah' turut dimartabatkan di kalangan warga maya yang terdiri daripada penyokong gabungan baharu tersebut. Biarpun UMNO telah kerap menyatakan bahawa ia tidak menyertai secara en-blok dalam PN, dan sokongan ahli parlimen dan DUN terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin berlarutan sehingga PRU-15 berlangsung, akan tetapi UMNO kena tunduk kepada kehendak parti PPBM (Bersatu) supaya perkongsian kuasa pentadbiran tidak terburai.

Selepas PRN-16 Sabah, UMNO akur kepada kehendak Bersatu yang mengingini jawatan Ketua Menteri Sabah. Pada hakikatnya, memang wajar UMNO melepaskan jawatan berkenaan kerana Bersatu yang menerajui PN telah memenangi 17 kerusi DUN. Ia bilangan paling banyak berbanding dengan 14 dan 7 kerusi dimenangi oleh UMNO dan PBS masing2. Tambahan pula, 3 orang calon Bebas yang memenangi kerusi baru2 ini juga menyokong PN. Jadi tidak kiralah pengerusi UMNO dan BN bising pasal kewajaran UMNO menjawat Ketua Menteri pada sebelum dan selepas PRN-16, beliau akhirnya akur akan hakikat tersebut.

Hah, ini dia. Normal baharu bagi UMNO adalah ia tidak lagi berperanan sebagai 'abang besar' dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin walaupun ia masih menerajui perikatan BN. Parti Bersatu ditubuhkan sebagai serpihan UMNO dan bermatlamat untuk mengatasi UMNO. Walaupun Tun Mahathir telah disingkirkan pada bulan Mei, dan gelombang keluar parti melanda, namun kemenangan PN bersama sekutunya di PRN-16 sekali lagi mengukuhkan kewibawaan Muhyiddin Yassin dari Bersatu, bukan Ahmad Zahid Hamidi dari UMNO, dlm kedudukan gabungan politik dan kerajaan persekutuan. Hal ini juga lebih kurang dengan Ahmad Faizal Azumu dan Hajiji Noor selaku pengerusi Bersatu Perak dan Sabah masing2, serta Menteri Besar Perak dan Ketua Menteri Sabah masing2. Keadaan UMNO masih tidak banyak berubah walaupun ia memperoleh semula jawatan Menteri Besar Perak yang sebelumnya dipegang oleh Bersatu.

Pada setakat ini, 3 orang ahli parlimen UMNO telah menarik sokongan daripada Muhyiddin Yassin. Pada masa yang sama, UMNO kerap menyarankan pembubaran parlimen bagi menjalankan PRU-15. Annuar Musa yang mendapat jolokan 'jurucakap Bersatu dalam UMNO' telah dipecat atas sebab mengingkari pendirian partinya. Beberapa cawangan turut bersuara untuk menolak kerjasama dengan Bersatu. Majoriti beliau telah terkikis sehingga 109 kerusi sahaja, tidak lagi menjangkau separuh daripada 222 kerusi. Walau bagaimanapun, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tetap berkekalan selepas Parlimen digantung susulan pelaksanaan Darurat sejak 11 Januari. Beliau tetap Perdana Menteri tidak kiralah majoriti beliau terus berkurangan atau tidak.

Dikarang pada 28/9/2020, dikemaskini pada 18/1/2021.

Ulasan

Catatan Popular