MELAKA 2021
Melaka merupakan salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang telah ditawan Pakatan Harapan pada PRU14 dan seterusnya diambil alih oleh gabungan BN+PN (Perikatan Nasional) tanpa melalui pilihan raya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini menjadi ujian cepu emas bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
Untuk pihak kerajaan, PRN ini menjadi medan pertempuran dalam kalangan parti kerajaan. BN lawan PN walaupun kedua-duanya duduk di Putrajaya. United Malays National Organisation (UMNO) sebagai parti Melayu yang paling senior ingin mengembalikan kewibawaan dalam politik Melayu dalam PRN ini supaya membangkit semula untuk memerangi seterunya (terutamanya Bersatu) menjelang PRU15. Bersatu dan PAS pula ingin membuktikan diri sendiri bahawa mereka mampu mempengaruhi arus pengundi untuk kurangkan undi perolehan BN. Kalau PN berjaya mengurangkan undi BN, maka ia lebih berkelebihan untuk berunding dengan BN supaya agihan kerusi lebih berpihak dengan PN atas nama 'Perpaduan Melayu Islam'. Alasan yg berbunyi 'menolak DAP daripada memegang kuasa' bakal dikemukakan untuk menekankan BN dlm perundingan tersebut.
Untuk pihak pembangkang pula, PRN ini menguji kemampuan mereka untuk walk the talk bagi isu pelompatan wakil rakyat dari parti ke parti. Sebelum ini mereka kuat mengutuk fenomena pelompatan parti, siap menyambut baik tindakan Shafie Apdal yang membubarkan DUN Sabah pada Julai 2020. Kini mereka sanggup mengambil tindakan mahkamah untuk membatalkan pembubaran DUN Melaka. Parti MUDA yang sebelumnya berhasrat untuk bertanding atas restu PH telah tidak mengambil bahagian dalam PRN kerana kecewa akan karenah PH yang sudi bekerjasama dengan 'katak' tapi tidak pula bagi parti junior itu. Saya tidak menganggap PH akan mempunyai peluang yang cerah untuk mengambil kesempatan daripada pertembungan dalam kalangan parti kerajaan. Hal ini disebabkan reputasi mereka sebagai pejuang anti-hopping law dipersoalkan selepas ADUN diterima sebagai calon PRN tanpa melalui tempoh peralihan. Tambahan pula, peluang PH untuk memenangi lebih daripada separuh jumlah kerusi akan berkurangan apabila tahap pengundian jatuh merundum pada hari pengundi kelak.
12/11/2021
10pm
Ulasan
Catat Ulasan