FILEM ANIMASI SEBAGAI KARYA AGUNG BAGI DEKAD 2010-AN

Saya mengakui saya bukan peminat filem animasi tegar. Akan tetapi terdapat satu filem animasi yang saya rasa wajar ditonton oleh semua orang, tak mengira kanak2, orang muda dan dewasa. Ya, yang saya maksudkan ialah 'Frozen' yang ditayang secara rasmi pada tahun 2013 (secara khususnya pada 27hb November 2013 di Malaysia). Filem ini memperoleh kutipan tayangan pawagam yang sangat luar biasa di seluruh dunia, sehingga ia dinobatkan sebagai filem yang menerima 'grossing' yang tertinggi di kalangan filem tayangan buat tahun 2013 (highest-grossing film in 2013).

Dalam pengamatan saya, kedua2 faktor yang menyumbangkan pencapaian 'Frozen' yang luar biasa adalah:

1. Jalan cerita dalam filem yang jauh berbeza lagi menarik daripada paparan klip pratonton (trailer). Secara konvensionalnya, klip pratonton bagi filem2 hasil produksi Disney yang berwatakkan puteri sebelumnya sering bertemakan kisah romantik dan pengembaraan antara puteri dengan jenaka bangsawan. Jika keputusan untuk menonton filem dibuat hanya bersandarkan klip protonton rasmi 'Frozen' yang dikeluarkan oleh Walt Disney Animation Studio pada September 2013, memanglah saya menganggap filem itu sebagai filem biasa. Kelihatan tiada apa2 tarikan yang luar biasa selain watak2 comel dan babak salji yang indah. Tiada juga cebisan babak klimaks yang menggerunkan. Tidak berbaloi untuk membayar tiket.

Namun begitu, filem berkenaan sebenarnya menceritakan kisah adik-beradik perempuan bangsawan (Elsa dan Anna dari Arendelle) yang memulihkan hubungan silaturahim menerusi kasih sayang benar. Lagipun jenaka bangsawan yang dijangka muncul sebagai 'wira' atau 'penyelamat agung puteri' rupa2nya seorang watak antagonis (Putera Hans), dan seorang lagi jenaka dari golongan marhaen adalah 'wira' sebenar (Kristoff) yang secara tidak langsungnya membantu menyempurnakan misi Anna.

2. Lagu tema dalam filem 'Frozen' sangat mempersonakan, terutamanya 'Let It Go'. Ia dimainkan dalam babak pembinaan istana ais oleh watak Elsa susulan pembebasan magiknya daripada tahanannya sejak kecil. Irama dan mesej tersirat lagu ini sangat mempersonakan kerana ia mengilhamkan semua orang yang mempunyai ciri2 istimewa harus terus yakin terhadap diri sendiri tanpa menghirau kecurigaan dan prejudis pihak lain.

Dengan itu, lagu berkenaan yang asalnya dinyanyi oleh Idina Menzel (pelakon suara untuk watak Elsa) menjadi suatu fenomena sedunia apabila ia sering disiarkan di mana2 stesen radio dan televisyen. Malah ia juga disebarkan dengan seluas2nya menerusi parodi dan peniruan gaya nyanyian di seluruh dunia. Lagu itu telah diterjemah dalam versi bahasa Melayu dan dinyanyi oleh Marsha Milan Londoh dengan tajuknya 'Bebaskan'. Fenomena berkenaan bertahan sepanjang bulan2 awal tahun 2014.

---

6 tahun selepas 'Frozen' ditayangkan, kini filem 'Frozen 2' sebagai susulan filem 'Frozen' ditayangkan mulai 21hb November 2019 di mana2 panggung wayang Malaysia. Klip pratonton rasminya yang pertama (yang dikeluarkan pada Jun 2019) memaparkan cebisan babak dengan cara berbeza, seakan2 kisah asal usul seorang adiwirawati yang menyelamatkan dunianya dengan kuasa magik.


Sinopsis ringkas dalam 'Frozen 2' ini mudah difahami apabila seseorang telah menonton 'Frozen' terlebih dahulu. Ia merungkai persoalan yang masih ditanya2 oleh para penonton tentang punca kuasa magik Elsa dan kehadiran kuasa magik lain. Sama dengan filem sebelumnya, tema kasih sayang atau silaturahim sesama adik-beradik dan ibu bapa diketengahkan dan diperkukuh. Ia bukan sahaja menonjolkan betapa mulianya hubungan berkenaan berbanding dengan hubungan berpacaran antara lelaki dengan perempuan, malah ia menunjukkan bahawa kasih sayang itu lebih mampu menjanakan keberanian dan keyakinan diri sendiri apabila mendepani kedugaan yang sangat mencabarkan. Satu lagi tema dalam filem itu adalah pencarian tujuan kelangsungan dan peranan seseorang dalam kehidupannya. Kesudahan jalan cerita yang menunjukkan perpisahan adik-beradik setelah persoalan punca kuasa magik dirungkai menandakan kematangan mereka untuk menerima tujuan kewujudan serta bersedia untuk memainkan peranan baharu yang lebih penting demi kesejahteraan kedua2 kawasan Arendelle dan Rimba Ajaib (Enchanted Forest).

Tambahan itu, mutu lagu2 dalam filem ini juga bertambah baik dengan adanya 'Into the Unknown' sebagai lagu tema utama. 'Show Yourself' pula boleh dianggap sebagai lagu yang setaraf dengan 'Let It Go'. Satu lagi lagu tema yang bertajuk 'Next Right Thing' adalah khas untuk sesiapa yang sedang mengalami depresi atau detik kemurungan supaya berani mengharungi segala cabaran dalam kehidupannya. Saya menanti2kan terjemahan versi bahasa Melayu bagi ketiga2 lagu itu.

Dalam pendek kata, kedua2 'Frozen' dan 'Frozen 2' adalah legasi Walt Disney Animation Studio yang memperoleh sambutan hangat di seluruh dunia. Ia boleh dicatatkan dalam sejarah sebagai hasil karya yang teragung di kalangan filem bergenre animasi sepanjang dekad 2010-an.

8/12/2019
1.00 am

Ulasan

Catatan Popular