28/2/2020- SELEPAS BERSATU KELUAR DARI PH...

Selepas 11 orang ahli parlimen pro-Azmin Ali keluar parti PKR, Parti Bersatu (PPBM) keluar dari perikatan Pakatan Harapan (PH) pada awal petang 24 Februari 2020. Maka kerajaan persekutuan yang ditunjangi PH tumbang akibat kehilangan bilangan majoriti kerusi parlimen.

Susulan dengan itu, kerajaan2 negeri yang didirikan oleh PH serba sedikit mengalami krisis tumbang seperti yang berlaku pada kerajaan persekutuan. Persoalannya adalah kebarangkalian kejadian itu berlaku.

1. Kedah: PH menubuhkan kerajaan negeri selepas menang secara relatif, iaitu 18 daripada 36 kerusi berbanding dengan 15 oleh PAS dan 3 oleh BN, dalam pilihan raya DUN Kedah yang serentak dengan PRU-14. Menteri Besar dijawat oleh Mukhriz Mahathir, ahli parti Bersatu.

Sebelum ini, kerajaan PH dicapai menerusi gabungan yang terdiri daripada 7 orang daripada PKR, 6 daripada Bersatu, 4 daripada Amanah dan 2 daripada DAP. Sekiranya Bersatu pilih untuk keluar dari kerajaan negeri, maka ia boleh berpilih juga untuk bekerjasama dengan PAS dan BN untuk menubuhkan kerajaan baharu menerusi majoriti baharu dalam DUN Kedah (15+2+6=23). Masa itulah wujudnya kebarangkalian jawatan Menteri Besar bertukar tangan kepada ahli parti PAS.

2. Perak: PH dapat mendirikan kerajaan negeri hanya selepas memperolehi kedudukan majoriti selepas seorang ADUN UMNO mengalih sokongannya kepada calon Menteri Besar dari PH. Susulan itu, Menteri Besar dijawat oleh Ahmad Faizal Azumu, satu-satunya ahli parti Bersatu yang menang dalam DUN Perak pada PRU-14.

Gabungan PH yang menunjangi kerajaan negeri terdiri daripada 18  orang daripada DAP, 6 daripada Amanah, 4 daripada PKR dan 2 daripada Bersatu. Sekiranya Bersatu pilih untuk keluar dari kerajaan negeri, maka PH akan kehilangan majoriti serta merta, dan ia bakal diganti dengan kerajaan baharu yang ditunjang oleh gabungan BN, PAS dengan Bersatu (25+3+2=30). Masa itulah wujudnya kebarangkalian jawatan Menteri Besar bertukar tangan kepada ahli parti UMNO daripada perikatan BN.

3. Johor: PH mendirikan kerajaan negeri selepas menang dalam pilihan raya DUN Johor yang serentak dengan PRU-14. Menteri Besar dijawat oleh Othman Sapian, dan kemudian oleh Sahruddin Jamal. Kedua-duanya ahli parti Bersatu. Sebelum ini, kerajaan PH dicapai menerusi gabungan yang terdiri daripada 14 orang daripada DAP, 11 daripada Bersatu, 9 daripada Amanah dan 5 daripada PKR. Sekiranya Bersatu pilih untuk keluar dari kerajaan negeri, maka ia boleh berpilih juga untuk bekerjasama dengan BN dan PAS (16+1+11=28). Masa itulah wujudnya sidang tergantung di mana PH dan 'gabungan baharu' tersebut mempunyai 28 kerusi masing2.

---
Pada hari semalam (27 Februari), selepas Pakatan Harapan mentadbir negeri Johor selama 1 tahun dan 9 bulan, kerajaan Pakatan Harapan di negeri Johor tumbang akibat kehilangan sokongan majoriti selepas terkeluarnya Bersatu dari gabungan asalnya. Sidang tergantung tidak berlaku, maka Menteri Besar baharu telah dilantik secara rasmi pada hari ini. Betul, beliau adalah ahli parti United Malays National Organisation, bukan dari parti Bersatu yang sekarang berada dalam 'gabungan baharu' negeri Johor.

Untuk negeri Kedah pula, Menteri Besar Kedah telah menegaskan pada hari semalam bahawa kerajaan negeri masih disokong dan diterajui oleh pasukan mereka yang kini dijenamakan secara tidak rasmi sebagai 'gandingan antara perikatan PH dengan parti Bersatu'. Di Perak, Menteri Besar Perak memaklumkan bahawa beliau masih berkhidmat dan menjalankan tugas seperti biasa, dan pada masa yang biasa jentera pentadbiran kerajaan negeri beroperasi seperti biasa. Namun begitu, Abdul Aziz Bari, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berpendapat bahawa penyusunan semula kerajaan negeri wajar dilakukan susulan perubahan dalam gabungan parti kerajaan di peringkat persekutuan.

Untuk peringkat persekutuan, kemelut penjajaran kerajaan masih berlarutan kerana calon Perdana Menteri baharu masih belum dapat ditentusahkan secara mutlak sama ada Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir Mohammad atau Muhyiddin Yassin memperolehi sokongan majoriti di kalangan ahli Dewan Rakyat. Namun begitu, Muhyiddin Yassin selaku ahli parlimen Pagoh dan presiden Bersatu, dilihat sebagai calon yang berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 selepas sokongan semakin meningkat dari parti2 selain daripada PH.

11.27pm
28/2/2020

Ulasan

Catatan Popular