WARISAN LAWAN PAKATAN HARAPAN

Suatu ketika dahulu, Pakatan Harapan (PH) di Sabah bersekutu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menghadapi PRU14. Mereka berjaya membantu PH mengukuhkan mandat kerajaan persekutuan. Tidak lama kemudian, Warisan berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah bersama PH Sabah selepas menerima UPKO yang keluar dari Barisan Nasional.

Menjelang PRN Sabah ke-16 pada September 2020, sekali lagi Warisan, UPKO dan PH Sabah berganding bahu untuk menghadapi serangan dari BN, Gabungan Rakyat Sabah (yang terdiri daripada PPBM Sabah, STAR dan SAPP pada ketika itu) dan PBS. Mereka bukan saja menggunakan logo Warisan dan UPKO, malah mengelar gabungan diri sendiri sebagai 'Warisan Plus'. Walaupun berkecundang, mereka tetapi barisan pembangkang yang utuh.

Namun begitu, terdapat rungutan dalaman dari Warisan yang menyalahkan UPKO yang gagal menyumbangkan kerusi yang secukupnya. Hubungan antara Warisan dengan UPKO semakin renggang. Akhirnya UPKO menyertai PH secara rasmi pada Ogos 2021. Tanpa UPKO, Warisan bakal menghadapi kesukaran untuk memperoleh undi yang secukupnya di kalangan pengundi Bumiputera Bukan Muslim, terutamanya KDM (Kadazan-Dusun-Murut).

Menjelang Disember 2021, Warisan mengambil keputusan untuk mengembangkan sayapnya ke Semenanjung Malaya. Sambutan sangat hangat kerana Warisan yang berasal dari Sabah dianggap berpotensi untuk memperkukuh politik progresif, liberal dan berbilang kaum yang suatu ketika dulu menemui jalan buntu selepas Langkah Sheraton. Namun begitu, fenomena ini tidak kekal lama apabila Warisan di Johor meletakkan calon-calon di kerusi pegangan asal PH, terutamanya yang dimenangi oleh DAP semasa PRU14. Hubungan antara mereka semakin renggang, dan akhirnya tidak erat seperti dahulu.

Kini, semboyan PRU15 bertiup dengan kencang. Warisan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PH Sabah. Mereka bukan sahaja bertanding di semua 25 kerusi parlimen di Sabah, malah mencuba nasib di 25 kerusi parlimen dan 17 kerusi DUN di Semenanjung Malaya (1 di Kelantan, 1 di Johor, dan yang lain semua di negeri2 Pantai Barat kecuali Melaka). Antara kerusi yang akan bertanding merupakan Pandan di mana Ong Tee Keat (bekas presiden MCA) yang mewakili Warisan bertembung dengan Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR).

Selain kerusi Pandan di Selangor, saya juga menganggap kerusi Sandakan dan Tawau di Sabah sebagai tumpuan medan pertembungan antara Warisan (yang lebih kuat di Bahagian Tawau) dengan DAP dan PKR masing2.

Parlimen Sandakan yang disandang oleh Stephen Wong (PR/PH-DAP, 1954-2019) sejak PRU13 dan Vivian Wong (PH-DAP) selepas PRK pada Mei 2019.

Parlimen Tawau yang disandang oleh Christina Liew (PH-PKR) sejak PRU14. Beliau turut menyandang jawatan ADUN Api-api sejak PRU13.

* Sumber peta kawasan pilihan raya: Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor yang Dicadangkan Bagi Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri Sabah Kali Keenam (SPR, 2017)

2/11/2022, 10.11pm

Dikemaskini pada 3/11/2022 9.52pm kerana Warisan pada hari ini telah mengumumkan seorang lagi calon untuk kerusi parlimen dan seorang lagi untuk kerusi DUN. 

Ulasan

Catatan Popular