PH & PN

Kedua2 Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) anti-Barisan Nasional (BN). Namun begitu, naratif dan hala tuju pentadbiran yang diajukan oleh mereka berdasarkan tingkah laku mereka jauh berbeza. Macam langit dengan bumi.

PH mengajukan sikap minda terbuka dan perpaduan dalam kepelbagaian. Selain DAP dan PKR sebagai tunjang perikatan ini, Amanah turut memperoleh sokongan utuh di kalangan pengundi kawasan bandaraya, terutamanya di Lembah Klang, Lembah Kinta, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Malangnya mereka gagal memenangi kerusi yang secukupnya di Pantai Timur dan utara Semenanjung, malah berkecundang di kerusi bandaraya seperti Permatang Pauh, Alor Setar, Kangar dan Kuantan yang sebelumnya dimenangi oleh mereka. UPKO sebagai anggota wakil Bumiputera Sabah pula meraih sokongan yang memberangsangkan di Sabah berbanding dengan Warisan.

PN pula mengajukan sikap nasionalis Melayu Islam yang lagi konservatif daripada UMNO. Perpaduan Ummah namanya selain 'Bersih & Stabil' yang diuar2kan sepanjang PRU15. Bersatu yang semakin lemah pengaruhnya sepanjang pentadbiran Ismail Sabri telah serba sedikit memulihkan kekuatan menerusi kemenangan di kerusi Pagoh, Larut, Tasek Gelugor, Machang dan Putrajaya. Ia buat pertama kali menembusi Sarawak menerusi kemenangan kerusi Saratok.

Di samping itu, PAS sebagai tunjang perikatan itu berpendirian keras terhadap penerapan nilai Islam dalam tatatertib masyarakat Muslim berbanding dengan Amanah yang menekankan penerapan maqasid syariah yang lunak dalam naratifnya. Ia memperoleh prestasi yang luar biasa serta memperanjatkan orang ramai. Bukan sahaja melonjak daripada 18 ke 43 kerusi parlimen, malah berjaya menembusi kubu2 tradisional UMNO di pedalaman Kedah, barat laut Perak, utara Selangor dan pedalaman Pahang. Ia juga berjaya menembusi Lembah Klang buat pertama kali menerusi kemenangan kerusi Kapar. Negeri Perlis turut dirampas daripada UMNO-BN susulan penyertaan Shahidan Kassim dalam jentera pilihan raya PN.

Dalam pemahaman saya, DAP dibaca oleh kebanyakan orang Melayu Muslim sebagai legasi toksik yang ditinggalkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) punyaan Lee Kuan Yew di Tanah Melayu. Stereotaip itu kekal lekat dalam psikik Melayu semenjak pemisahan Singapura daripada persekutuan Malaysia. Pada masa yang sama, DAP secara tidak langsung ditafsirkan sebagai gerakan politik yang memperjuangkan nilai sekularisme, kepelbagaian budaya (multiculturalism), liberalisme sosial dan individualisme. Untuk PAS pula, ia menafsirkan diri sendiri sebagai gerakan Islam politik (political Islam) yang mengutamakan kepimpinan ulama sejak 1980-an. Selepas peninggalan Tok Guru Nik Aziz, hala tuju parti ini dianggap telah berubah dan cenderung ke arah Islamisme bernada keras, Islamic exceptionalism, dan kolektivisme sosial. Disebabkan nilai dan ideologi kedua2 parti yang jauh berbeza, maka DAP dan PAS tidak disenangi oleh kebanyakan Melayu Muslim dan bukan Melayu Muslim masing2, walaupun kedua2 parti sebenarnya ada anggota parti yang terdiri daripada golongan Melayu Muslim dan bukan Melayu Muslim (dalam sayap DPPP) masing2.

Oleh itu, saya tidak rasa PH dan PN akan bekerjasama disebabkan perbezaan mereka yang sangat ketara, ibarat minyak dan air yang mustahil bercampur gaul tanpa perantara. PAS sebagai tunjang PN benci akan DAP, dan DAP sebagai anggota utama PH tidak yakin dengan PAS susulan pengalaman kerjasama yang lebih kepada kesudahan yang pahit.

22/11/22

11.45 pm

Ulasan

Catatan Popular